KUALA LUMPUR – Singapore Airlines (SIA) menawarkan untuk membayar pampasan kepada para penumpang yang cedera dalam pergolakan udara semasa dalam penerbangan London ke Singapura.
Syarikat penerbangan itu berkata, ia akan membayar AS$10,000 (£7,800) kepada mereka yang mengalami kecederaan ringan, dalam catatan Facebook.
Bagi penumpang yang mengalami kecederaan yang lebih serius, syarikat penerbangan itu menyediakan “bayaran pendahuluan sebanyak AS$25,000 untuk memenuhi keperluan segera mereka” dan perbincangan lanjut untuk memenuhi “keadaan khusus mereka”.
Seorang penumpang warga Britain berusia 73 tahun maut dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila penerbangan SQ 321 mengalami pergolakan di Myanmar dan dilencongkan ke Thailand pada bulan lalu.
Kejadian itu menyebabkan lebih 100 orang penumpang mendapat rawatan di hospital Bangkok.
Sebelum ini siasatan awal menunjukkan kejadian berlaku selepas pesawat berkenaan dikatakan memecut naik dan turun dengan pantas sebelum jatuh sekitar 178 kaki selama 4.6 saat.
Kejadian itu pula berlaku apabila majoriti penumpang dalam keadaan tidak memakai kali pinggang keledar.
Ketika kejadian pesawat berkenaan membawa 211 penumpang dan 11 anak kapal.
Susulan kejadian itu, Singapore Airlines menawarkan bayaran balik penuh tambang kepada semua penumpang pesawat berkenaan.
Selain itu, Singapore Airlines berkata penumpang akan menerima pampasan kelewatan mengikut peraturan Kesatuan Eropah atau United Kingdom.
Syarikat penerbangan itu juga menawarkan sebanyak S$1,000 (AS$739) kepada semua penumpang untuk menampung perbelanjaan segera dan ia mengatur jika keluarga penumpang terlibat mahu melawat mangsa yang cedera ke Bangkok. – MalaysiaGazette