Foto FB TFC.

KUALA LUMPUR – Selepas dikecam ramai pihak, Terengganu FC (TFC) mencapai kata sepakat dengan salah satu penaja iaitu XFOX Market Holdings untuk menamatkan penajaan.

Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi laman media sosial rasmi pasukan.

Sebelum ini, tindakan kelab yang menerima tajaan dari XFOX mendapat kritikan selepas syarikat itu berada dalam senarai pemantauan Bank Negara Malaysia (BNM) ekoran beberapa isu berkaitan pelaburan.

“Pihak Terengganu FC bersedia untuk bekerjasama dengan pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd setelah melihat dan menyaksikan sendiri operasi perjalanan syarikat khususnya XFOX Arena di Subang Bestari yang menyediakan Padang Bolasepak Sintetik yang dilihat bersesuaian dengan perjalanan Terengganu sebagai sebuah kelab bolasepak.

“Selain itu, pelbagai lagi perniagaan yang dijalankan oleh pihak XFOX Market Holdings Sdn Bhd. Bagaimanapun, kerjasama ini dipandang dari sudut yang berbeza oleh pelbagai pihak. Malah Terengganu juga mendapat simpati daripada pihak penaja dengan suasana ini.

“Demi keharmonian kelab, dan mengambil kira suara penyokong yang merupakan tulang belakang pasukan, pihak Terengganu telah melakukan perbincangan dengan pihak XFOX Market Holdings Sdn. Bhd. untuk melihat kaedah terbaik penyelesaian isu ini,” menurut kenyataan kelab tersebut.

TFC menambah, atas persefahaman bersama, pihaknya dan XFOX Market Holdings Sdn Bhd bersedia untuk membubarkan kembali perjanjian penajaan ini tanpa sebarang tuntutan antara kedua pihak.

Katanya, tindakan itu lebih kepada melihat aspek keharmonian kelab untuk mengharungi pelbagai lagi cabaran mendatang.

“Pihak Terengganu akan memulangkan kembali bayaran penajaan pihak syarikat penaja sebanyak RM 1.5 juta yang telah selesai dilunaskan.

“Sementara itu, dalam tempoh yang masih berbaki, pihak kelab akan terus berusaha untuk mendapatkan penaja bagi AFF Shopee Cup 2024,” dipetik dari kenyataan pihak kelab. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here