Oleh: Abdul Hadi Abd Aziz dan Dr. Nurul Hanilah Mohd Ismath
BAPA diibaratkan sebagai tiang kerana peranannya yang penting dalam menegakkan dan menyokong struktur keluarga. Tiang yang teguh akan memberikan kestabilan dan kekuatan kepada bangunan. Begitu juga seorang bapa akan memberikan kestabilan dan kekuatan kepada keluarganya melalui kepimpinan, perlindungan dan penyediaan nafkah dan keperluan asas kepada anak dan isterinya seperti makan minum, tempat tinggal, wang mahupun belanja. Selain itu, bapa juga dianggap sebagai pembimbing dan penjaga utama dalam keluarga. Peranannya penting sama seperti seorang ibu dalam pembentukan keluarga dan pendidikan anak-anak serta bertanggungjawab memastikan anak-anakdibesarkan dengan nilai-nilai Islam dan mendapat pendidikan yang sewajarnya. Ia bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya…” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Hari Bapa adalah satu kesempatan yang diraikan setiap tahun di seluruh dunia untuk menghargai jasa dan pengorbanan seorang bapa. Namun hakikat sebenarnya, Islam menegaskan bahawa penghargaan dan ketaatan kepada ibu bapa harus diberikan setiap masa, bukanlah pada hari tertentu sahaja seperti ‘Hari Ibu’ dan ‘Hari Bapa.’ Dalam konteks Islam, penghargaan terhadap ibu bapa, khususnya bapa mempunyai kedudukan yang tinggi dan dijelaskan melalui ayat-ayat al-Quran seperti firman Allah SWT dalam Surah Luqman, ayat 14: “Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan tidak menyusuinya lagi dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada-Kulah kembalimu”. Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita semua sebagai anak-anak, betapa pentingnya berbuat baik dan berterima kasih kepada ibu bapa, termasuk bapa.
Peranan bapa dalam pendidikan anak-anak
Dalam Islam, bapa bertanggungjawab terhadap pendidikan agama dan pendidikan akhlak anak-anaknya. Ini dijelaskan dalam hadis Nabi SAW: “Tiadalah pemberian seorang bapa kepada anaknya yang lebih baik daripada adab yang baik.” (Hadis riwayat Tirmizi). Hadis ini menegaskan bahawa pemberian terbaik daripada seorang bapa kepada anak-anaknya adalah didikan akhlak yang mulia dan adab-adab yang baik. Bapa adalah contoh teladan dalam pembentukan karakter dan keperibadian anak-anak. Jika bapa seorang yang beradab, maka anak-anaknya mungkin akan terikut cara dan tingkah lakunya.
Sebaliknya jika bapa seorang yang kasar, kemungkinan besar mereka juga kelak akan bersikap kasar. Sebagai sorang Islam, seorang bapa mestilah mengajarkan tauhid kepada anak-anaknya bahawa Allah SWT sebagai tuhan yang mencipta segala-galanya. Awal agama adalah mengenal Allah. Ia sebagaimana yang diucapkan oleh Saidina Ali a.s: “Awal agama adalah mengenal-Nya, dan kesempurnaan mengenalNya adalah membenarkanNya”. Dalam mendidik anak-anak, seorang bapa mesti menanam benih-benih tauhid agar ia dapat berputik dan akhirnya menjadi tunjang utama dalam hidup mereka. Hal ini jelas dalam sabda Nabi SAW: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, atau Majusi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Penghormatan dan ketaatan kepada bapa
Islam menuntut anak-anak untuk sentiasa menghormati dan mentaati ibu bapa mereka, termasuk bapa selagi tidak bertentangan dengan Islam. Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 23: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya”. Diriwayatkan juga oleh Abdullah bin Umar r.a, Nabi SAW bersabda: “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa." (Hadis riwayat Tirmizi).
Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya ketaatan dan penghormatan kepada bapa kerana keredaan Allah SWT bergantung kepada keredaan ibu bapa. Anak-anak patut sentiasa menggembirakan hati bapa mereka dan sentiasa mengikut kata-katanya yang benar dengan taat. Bukan sahaja hatinya, malah hati anak-anaknya pasti akan gembira dan bahagia Ketika mana berada bersama-sama. Maka akan lahirlah sebuah keluarga yang sakinah dan mawaddah.
Penghargaan dan kasih sayang kepada bapa
Islam juga menggalakkan anak-anak untuk sentiasa menunjukkan penghargaan dan kasih sayang kepada bapa mereka. Dalam surah al-Isra “ayat 23, Allah SWT berfirman, maksudnya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selainNya dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”.
Ayat ini menekankan bahawa pentingnya berbuat baik dan menjaga adab dalam berbicara serta berinteraksi dengan ibu bapa, termasuk bapa. Jangan menyakiti hatinya dan meninggikan suara ketika bercakap dengannya. Jangan sombong dan bakhil denganya jika kita dikurniakan kekayaan yang sementara. Namun, berkongsilah dengan mereka yang mungkin hidup sederhana atau serba daif. Hargai dan curahi kasih sayang sepenuhnya kepada keduanya.
Mengimbau perjalanan kehidupan yang lalu, sebelum kita mengecapi nikmat kehidupan yang serba cukup ini, dahl mungkin kita dari keluarga yang susah. Ada yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bapalah yang bersusah payah mencari nafkah untuk anak isteri. Tidak mengenal erti susah dan panas mentari. Jika anak-anaknya melalui apa yang pernah dilaluinya nescaya, mereka akan sentiasa menjadi anak yang bersyukur. Bagi anak-anak yang tidak pernah merasai kesusahan itu, yang mana mereka hidup dalam keadaan serba cukup dengan nikmat yang melimpah ruah, maka inilah masanya untuk kita sebagai bapa mendidik anak-anak tentang kesederhanaan dan sifat syukur. Jangan membazir, jangan memandang rendah orang lain, tetapi menjadi seorang yang pemurah.
Kebaikan dan doa anak kepada bapa
Selain itu, Islam juga menekankan kepentingan anak-anak untuk terus berbuat baik kepada bapanya walaupun selepas kematiannya. Ini termasuklah berdoa untuk mereka, bersedekah atas nama mereka, dan melaksanakan wasiat mereka. Doa anak kepada bapanya merupakan satu bentuk penghormatan yang sangat besar dalam Islam. Doa anak yang soleh akan memberi manfaat kepada bapanya di dunia dan di akhirat.
Nabi SAW bersabda: “Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sed ekah jariah, ilmu yang bermanfaat, atau doa anak yang soleh." (Hadis Riwayat Muslim).
Justeru, Hari Bapa dalam konteks Islam adalah satu kesempatan untuk memperingati dan menghargai jasa serta pengorbanan bapa. Islam mengajar kita untuk sentiasa menghormati, mentaati, dan menunjukkan kasih sayang kepada bapa. Dengan merujuk kepada ayat-ayat al-Quran dan hadis, kita dapat melihat betapa tingginya kedudukan bapa dalam Islam dan betapa pentingnya peranan mereka dalam kehidupan anak-anak. Menghargai bapa bukan hanya dilakukan pada ‘Hari Bapa’ semata-mata, tetapi ia perlu menjadi amalan harian yang berterusan sebagai tanda ketaatan kepada Allah SWT dan penghormatan kepada seorang bapa.
Abdul Hadi adalah Guru Bahasa, Pusat Pengajian Bahasa, UTHM manakala Nurul Hanilah Pensyarah Kanan, Kulliyyah of Sustainable Tourism and Contemporary Languages (KSTCL), UIAM Pagoh