KUALA LUMPUR – Polis sedang giat menjalankan siasatan berhubung dakwaan bunyi letupan kuat berlaku di kawasan sekitar Stadium Shah Alam dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ia susulan aduan diterima dan anggota bertugas telah digerakkan ke lokasi untuk pemeriksaan.
“Anggota bertugas yang tiba di lokasi telah bertanya dengan peniaga gerai makanan di kawasan tapak letak kenderaan di Stadium Shah Alam.
“Mereka mendakwa terdapat individu yang bermain mercun bungai api yang meletup di udara di kawasan tapak bazar Ramadan di situ.
“Bagaimanapun, pemeriksaan dan pemerhatian di tapak tersebut mendapati tiada individu yang mencurigakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menyalurkannya kepada balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, tular hantaran di media sosial mendakwa terdengar bunyi letupan di beberapa lokasi sekitar Shah Alam dan beberapa individu memaklumkan bunyi letupan itu berlaku sekitar pukul 11 malam dan awal pagi. – MalaysiaGazette
















