Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network, Datuk Seri R Jeyendran

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) digesa untuk mengkaji semula penguatkuasaan tempoh tiga hari bagi pemprosesan Lesen Perkapalan Domestik (DSL) kerana ia disifatkan membawa kerugian besar ketika ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy, situasi bertambah buruk apabila MOT tidak beroperasi pada hujung minggu.

Jelas beliau, Jabatan Laut selaku pihak paling berkuasa boleh mengesahkan semua dokumen hanya dalam masa 15 hingga 20 minit sahaja.

“Jabatan ini sangat cukup cekap justeru kami amat bingung apabila memikirkan mengapa MOT tidak dapat mempercepatkan proses permohonan DSL kepada 24 jam.

“Peraturan ini juga menyebabkan wujudnya impak buruk dan negatif kepada ekonomi, khususnya kargo spot yang perlu diproses dengan pantas.

”Kita sangat berharap MOT akan cuba mengkaji semula peraturan ini dan  bekerjasama dengan Jabatan Laut untuk mempercepatkan proses ini dengan segera,” katanya dalam kenyataan.

Jeyenderan sebelum ini dipetik sebagai berkata, tempoh 72 jam untuk proses kelulusan bagi semua prosedur di bawah Dasar Kabotaj disifatkan sebagai khabar buruk buat semua syarikat perkapalan.

Katanya, pemilik kargo sering membuat perubahan pada saat akhir, justeru tempoh 72 jam tersebut seharusnya dipendekkan kepada hanya 24 jam.

Selain itu, kata Jeyenderan lagi, hakikatnya para penyewa sama sekali tidak berniat untuk mempertikaikan caj dikenakan ke atas DSL tetapi berhak menyuarakan pandangan berkenaan masa pemprosesan.

“Kami amat memerlukan tindakan pantas MOT untuk menyelaraskan operasi selaras dengan keperluan industri, tolonglah,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast