Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap kepada wartawan pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 12 JUN 2024

PUTRAJAYA – Perlembagaan Persekutuan menentukan hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri, sebagaimana isu berkenan yang dibangkitkan beberapa pihak sejak kebelakangan ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri mengambil maklum kenyataan dibuat beberapa pihak membabitkan hubungan kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri.

Katanya, Malaysia terbentuk atas persetujuan semua negeri berlandaskan prinsip federalisme sebagai teras utama Perlembagaan Persekutuan dengan pembangunan turut berteraskan kekuatan semua negeri.

“Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan menjadi asas dalam menjamin hak negeri, dan dalam menentukan hubungan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan-kerajaan negeri.

“Berkait perkara mengenai Sabah dan Sarawak, perbincangan ini berpandukan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya ketika membacakan kenyataan media yang dikeluarkan Jemaah Menteri pada sidang media, di sini, hari ini.

Kenyataan itu menyusul berikutan permintaan kerajaan Johor semalam supaya kerajaan Persekutuan mengembalikan sekurang-kurangnya 30 peratus hasil cukai negeri itu kepadanya.

Permohonan itu disampaikan ketika sesi menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi serta beberapa pegawai tinggi kerajaan Persekutuan antaranya Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, semalam.

Pada Ahad lalu, Tunku Ismail menyuarakan harapan pada masa hadapan sekurang-kurangnya 20 hingga 30 peratus daripada hasil negeri akan kembali ke Johor.

Baginda turut menggesa reformasi sistem Persekutuan dengan Johor dilayan sebagai rakan kongsi serta mencadangkan parti politik di negeri itu bersatu dalam gabungan dikenali dengan nama ‘Gabungan Bangsa Johor’ bagi menjamin kepentingan negeri.

Dengan melihat gabungan pemerintah Sarawak Gabungan Parti Sarawak terdiri daripada beberapa parti, Tunku Ismail menegaskan negeri itu telah menggunakan kelebihan berkenaan untuk berunding lebih berkesan dengan pihak berkuasa persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast