KUALA LUMPUR – Terdapat keperluan untuk melaksanakan tindakan segera terhadap prestasi dan produktiviti dalam sektor pertanian serta agromakanan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara kali pertama tahun ini mendapati terdapat keperluan mendesak berhubung pelaksanaan tindakan tersebut khususnya kelulusan pelaksanaan serta fasilitasi pelaburan dan perniagaan.
“Elemen ease of doing business wajar diterapkan bagi menyokong ekosistem perniagaan dalam sektor pertanian.
“Kerajaan komited dengan pembangunan ekosistem industri tanaman serta pengadaptasian teknologi dan meneroka potensi makanan masa hadapan seperti daging kultur, hasil daging kultur dan cell-based food,” katanya menerusi kenyataan selepas mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara di bangunan Perdana Putra, hari ini.
Mesyuarat berkenaan, kata Anwar, membincangkan usaha mempertingkat keterjaminan makanan serta memperkasa industri agromakanan negara.
Jelas Perdana Menteri, mesyuarat itu juga dimaklumkan mengenai prestasi dan produktiviti dalam sektor pertanian serta agromakanan yang dilihat memberi kesan positif dengan mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh setahun kebelakangan ini.
Justeru, inisiatif tersebut perlu didahului dengan kajian menyeluruh bagi memastikan tahap kualiti dan keselamatan makanan terjamin.
“Inisiatif pemodenan pertanian seperti pembangunan kilang tanaman akan menyokong pertumbuhan industri teknologi pertanian bagi menghasilkan pengeluaran makanan yang lestari sebagai alternatif kepada pengeluaran tanaman semasa,” katanya.
Mesyuarat turut bersetuju dengan pembangunan indikator keterjaminan makanan merangkumi maklumat berkaitan harga dan ketersediaan makanan di seluruh peringkat. – MalaysiaGazette