Pemain Harimau Malaya dan Selangor FC, Faisal Halim membuat kemunculan kali pertama pada sidang media selepas menjadi mangsa simbahan asid ketika di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 13 JUN 2024.

SHAH ALAM – Pemain Selangor FC, Faisal Halim muncul buat pertama kali pada sidang media dengan keadaan kulit tangan kiri mengelupas teruk selepas lebih sebulan disimbah asid.

Sepanjang pemerhatian pihak media, tangan kirinya itu juga dilihat tidak dapat diangkat dengan sempurna.

Namun dimaklumkan, kulit tangan kiri sedang melalui proses salinan kulit, kata Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr. Muhammad Hazwan Khair.

Pada masa sama, terdapat kesan melecur di bahagian muka pemain berusia 26 tahun itu yang hadir berpakaian kemeja lengang pendek.

Namun Faisal mengesahkan penglihatannya tidak terjejas dan hanya mengalami masalah rabun dekat untuk membaca.

“Melihat okey, main bola okey, cuma hendak baca nampak halus sikit tak ada masalah dengan penglihatan saya, untuk baca perlu pakai cermin mata,” katanya pada sidang media bersama pengurusan Selangor FC di sini hari ini.

Faisal muncul pertama kali di khalayak selepas disimbah asid awal bulan lalu dan kini beliau dibenarkan keluar hospital serta ditempat di lokasi rahsia untuk proses pemulihan.

Mengulas lanjut, pemain itu mengakui dia seboleh-bolehnya tidak mahu lagi mengingat insiden ngeri tersebut.

“Pertama kali waktu mula-mula kena saya rasa panas dan pedih dan saya tahan kesakitan itu.

“Ada yang datang pada saya ketika itu kata tak bahaya dan saya kata ok. Kemudian bila dah berlaku rupanya benda ini sangat-sangat bahaya dan luar biasa,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu memberitahu, selepas insiden tersebut, berat badannya susut sebanyak empat kilogram (kg) dan terpaksa bergantung kepada isteri dan keluarganya untuk menguruskan dirinya termasuk untuk makan dan ke tandas.

Bagaimanapun katanya, berat badannya kembali normal iaitu 51 kg selepas sebulan insiden berlaku.

Awal Mei lalu, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali sehingga disahkan melecur tahap empat.

Kecederaan pemain yang mesra dengan gelaran Mickey itu pada awalnya agak kritikal tetapi stabil selepas melakukan empat pembedahan susulan di hospital swasta di Shah Alam.

Namun proses pemulihan Faisal berjalan lebih cepat daripada jangkaan dan dibenarkan keluar dari hospital sejak 25 Mei lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast