KUALA LUMPUR – Satu pengumuman berkaitan barang keperluan harian rakyat akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok, kata Ahmad Fahmi Fadzil.
“Ada berita baik dari PM tunggu pengumuman bila kita ada kerjasama baik dari sektor industri kerajaan ada persefaham bahawa niat kita untuk rakyat jadi kita berupaya untuk membuat pengumuman seperti yang akan diumumkan PM esok,” kata Menteri Komunikasi itu selepas menghadiri majlis perasmian Mydin Mart di Mydin Pantai Dalam, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Fahmi tidak memperincikan barang keperluan apa yang akan diumumkan Anwar.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya sedang berbincang dengan pihak berkaitan mengenai cadangan menaikkan harga siling beras putih tempatan (BPT) dan keputusan itu dijangka diputuskan sedikit masa lagi.
Mohamad berkata setakat ini, pihaknya belum boleh memberi ketetapan mengenai perkara itu.
Pada November lalu, Mohamad memaklumkan kerajaan perlu meneliti cadangan Badan Kawal Selia Padi dan Beras supaya harga siling BPT dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding harga siling semasa iaitu RM2.60 sekilogram.
Ia mengambil kira impak kenaikan itu dengan keputusan yang dibuat bakal memberi kesan kepada hampir 300,000 komuniti yang terbabit dalam setiap rantaian berkenaan meliputi pesawah, pengilang komersial, pemborong dan peruncit. – MalaysiaGazette