Foto Facebook Datuk Seri Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Keputusan Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima undangan mengadakan persembahan bersama komposer David Foster di Jakarta, Indonesia pada malam tadi mengundang rasa kecewa dalam kalangan netizen.

Siti atau Siti Nurhaliza Taruddin, 45, muncul pada konsert Hitman Returns – David Foster and Friends itu bagi menggantikan penyanyi Jessie J yang menarik diri pada saat akhir.

Namun kontroversi timbul kontroversi apabila Siti menerima tawaran itu kerana David merupakan penyokong kuat rejim zionis.

David juga didakwa sering terlibat dalam usaha menyumbang dana kepada tentera Israel termasuk acara yang dianjurkan oleh`Friends of Israel Defence Forces’ (FIDF).

Susulan itu, ramai mula mendesak Siti membatalkan kemunculannya dan meluahkan rasa kecewa apabila penyanyi itu meneruskan persembahan di konsert tersebut.

Ramai menganggap Siti tidak sensitif selain dituduh tidak membuat semakan tentang latar belakang David sebelum bersetuju.

konsert Hitman Returns – David Foster and Friends’ berlangsung di Jakarta semalam.

Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) turut kesal dengan penyertaan Siti dalam konsert itu.

Menurut gerakan itu, penganjur pertunjukan berkenaan iaitu David Foster sememangnya diketahui merupakan individu yang sangat kuat menyokong rejim Zionis.

Tambahnya, penggubah lagu terkenal itu juga sering terlibat dalam usaha menyumbang dana kepada tentera Israel dalam acara yang dianjurkan oleh`Friends of Israel Defence Forces’ (FIDF).

Bagaimanapun, Siti dilihat tidak berkongsi sebarang foto atau video persembahannya bersama David di laman sosial miliknya sehingga kini.

Selain Siti, rakan artis lain dari Indonesia seperti Rossa dan Afgan juga terlibat.

Ogos tahun lalu, Siti pernah berkongsi pentas dengan David menerusi konsert ‘Hitman: David Foster and Friends Asia Tour 2023’ di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette