NIBONG TEBAL – Pembinaan Depot Tahanan dan Kuaters Imigresen di Jawi di sini, yang tertangguh selama lima tahun akan siap sepenuhnya akhir Julai depan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek bernilai RM77.5 juta di atas tanah berkeluasan enam hektar itu kini sudah siap 98 peratus.
Jelas beliau, pembinaan projek bermula 27 Mei 2019 itu sepatutnya siap pada 8 Mei 2022, namun diberikan tiga kali penangguhan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19.
“Projek ini menggunakan kaedah tender terbuka oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana dan dijangka siap pada 28 Julai depan.
“Selain itu, satu projek tambahan iaitu pembinaan rumah pam, tangki sedut serta penyediaan jajaran retikulasi air sepanjang dua kilometer yang menelan kos RM5.78 juta turut dilaksanakan pada projek depot ini.
“Ia bagi mengatasi isu tekanan air rendah di kawasan Jawi yang menjejaskan bekalan air di kawasan penjara dan Taman Widuri,” katanya pada sidang media selepas meninjau kemajuan projek itu di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, pembinaan depot itu merupakan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK 11) Rolling Plan Pertama di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, bertujuan menyediakan pusat tahanan pendatang asing yang kondusif yang boleh menampung kapasiti yang diperlukan dan memiliki ciri-ciri kawalan keselamatan.
“Projek ini juga menyediakan tempat tinggal pegawai bertugas yang berhampiran dengan tempat kerja sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan pegawai Imigresen Depot Tahanan dengan masa tindak balas (respond time) yang pantas bagi menangani sebarang isu sekiranya berlaku kekecohan di blok tahanan.
“Projek ini bakal menggantikan Depot Tahanan Imigresen Juru (sedia ada) yang dibina pada tahun 1976 di mana depot tersebut telah uzur dan tidak selamat untuk diduduki.
“Secara purata, depot tahanan baharu ini mampu menampung 834 tahanan lelaki dan 324 tahanan wanita berbanding depot Juru ini mempunyai kapasiti untuk 500 orang tahanan,” katanya. – MalaysiaGazette