Ahli Parlimen Machang merangkap Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul belum memberikan jawapan berkenaan usul tergempar perbahasan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal disarankan supaya menunggu jawapan rasmi terlebih dahulu sebelum mengutaraan pendapat berkenaan tindakan seterusnya.

Demikian kata Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor.

“Tuan Yang di-Pertua telah menerima dua usul di Bawah peraturan mesyuarat 18(10 dari Machang dan Arau pada Isnin, 24 Jun 2024. Kesemua usul tersebut diterima selepas jam 10 pagi semalam dan tidak mencukupi 24 jam hari persidangan untuk diputuskan hari ini.

“Selaras dengan peraturan mesyuarat 18 (2) maka ia masih dalam pertimbangan tuan yang DiPertua dan akan diputuskan kelak.

“Jadi YB Machang, permohonan itu dalam pertimbangan, saya sarankan tunggu jawapan rasmi daripada pejabat Speaker sendiri dan awak conclude to another perspective,” katanya dalam Dewan Rakyat.

Terdahulu, Ahli Parlimen Machang itu  bertanyakan ruang yang boleh digunakannya sebagai wakil rakyat untuk membawa usul tersebut sekiranya ia ditolak sekali lagi.

Sebagai rekod, usul pertama yang dibawanya semalam ditolak.

Dalam perkongsian di Facebook, beliau memuat naik surat jawapan daripada Johari bertarikh 24 Jun lalu terhadap usul yang difailkannya.

Dalam surat jawapan itu, Johari memaklumkan pihaknya sudah meneliti usul dikemukakan itu yang antara lain mencadangkan supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan untuk merundingkan usul berkenaan.

Sebelum ini, beliau yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilaporkan mengemukakan usul meminta kerajaan menarik semula keputusan penjualan sebahagian saham MAHB di Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) & 18(2) sebagai usul tergempar.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, usul sama dihantar mengikut Peraturan Mesyuarat 27(1) dan 27(3) pada awal Jun lalu sebagai usul persendirian yang dijadikan sebahagian daripada Aturan Urusan Mesyuarat (Ahli Bukan Kerajaan) bagi pertimbangan untuk dibahaskan.- MalaysiaGazette