hmad Fahmi Fadzil bersama Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Jin Zhuanglong.
hmad Fahmi Fadzil bersama Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Jin Zhuanglong.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan komited untuk melaksanakan dasar model dwi rangkaian 5G, kata Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil.

Menurut beliau, syarikat-syarikat telekomunikasi yang terbabit dalam pelaksanaan model tersebut akan melengkapkan proses pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) pada 21 Jun depan.

“Sejurus selepas itu, proses mengenal pasti syarikat telekomunikasi yang akan membangunkan rangkaian 5G kedua akan bermula,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Fahmi berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Jin Zhuanglong.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, ketika pertemuan lebih 40 minit itu kedua-dua pihak banyak membincangkan perkara-perkara berkaitan isu telekomunikasi termasuk pelaksanaan rangkaian 5G kedua.

Tambah jurucakap kerajaan itu lagi, proses membangunkan rangkaian kedua ini hanya akan dibuka kepada syarikat telekomunikasi yang telah melengkapkan pegangan ekuiti (SSA) dalam DNB.

Pelaksanaan rangkaian 5G kedua  bersifat komersial tetapi kerajaan melalui Kementerian Komunikasi telah memutuskan dasar dwi rangkaian untuk memacu persaingan dan memastikan kemapanan ekosistem telekomunikasi dalam negara, jelas Fahmi

“Selain itu, perbincangan kami turut memberi fokus kepada usaha mengeratkan hubungan antara kedua-dua kementerian.

“Saya turut menyentuh teknologi ‘direct-to-cell’ membabitkan satelit orbit rendah Bumi (LEO) yang mungkin dapat membantu mengatasi masalah internet di kawasan terpencil serta kawasan yang tiada sambungan internet,” katanya lagi. – MalaysiaGazette