KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk turut mengambil tindakan terhadap pemberi rasuah bagi memastikan punca kepada gejala itu ditangani sehingga ke peringkat akar umbi.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, pendekatan dalam mengambil tindakan perlu diubah.
Ini kerana kesalahan pemberi rasuah adalah sama dengan penerima dan jika disabitkan kesalahan seseorang itu akan berhadapan hukuman berat termasuk dipenjara dan denda.
“(Apa) yang mengecewakan adalah apabila pemberi rasuah tidak didakwa malah dijadikan saksi untuk mendakwa mereka yang menerima rasuah.
“Ketika ini kita banyak didedahkan dengan tangkapan individu yang menerima rasuah sahaja hingga ramai yang mempersoalkan kemana hilangnya pemberi rasuah tersebut.
“Jenayah rasuah tidak akan dapat dibanteras sepenuhnya jika agensi penguatkuasaan tidak menumpaskan sumber atau akar umbi kepada punca gejala terbabit.
“Pemberi rasuah ini akan mencari pelbagai jalan untuk mencari mangsa mereka bagi mendapatkan keuntungan daripada transaksi yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Adnan, sekiranya rantaian pemangsa itu dapat diputuskan sudah tentu permasalahan rasuah ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Jika usaha memburu pemberi rasuah ini diperhebatkan, CUEPACS yakin masyarakat akan lebih takut untuk terbabit dalam salah laku tersebut,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Adnan berpendapat kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bahawa menaikkan gaji penjawat awam semata-mata tidak dapat membendung rasuah adalah tidak tepat.
Katanya, pandangan tersebut seolah-olah memberi gambaran bahawa faktor utama kerajaan menaikkan gaji penjawat awam adalah untuk memerangi gejala rasuah dalam perkhidmatan awam.
“Gaji yang rendah mungkin adalah salah satu punca kepada berlakunya gejala rasuah namun ia bukanlah penyebab utama.
“Buktinya dapat dilihat melalui laporan media setiap hari penjenayah rasuah terdiri daripada pelbagai kumpulan masyarakat dan rata-ratanya mempunyai jawatan dan kedudukan tertentu,” katanya.
Adnan berkata demikian mengulas kenyataan Azam bahawa kerajaan perlu menangani isu lebih mendalam yang mewujudkan peluang untuk rasuah berlaku kerana gaji rendah dan kemiskinan bukan faktor utama di sebalik rasuah dalam perkhidmatan awam.-MalaysiaGazette