MELAKA – Dua penunggang motosikal nyaris maut apabila tergelincir di lokasi tumpahan cat di selekoh susur Lebuh Sungai Udang- Paya Rumput- Ayer Keroh (SPA) di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 12.35 tengah hari itu, kedua-dua mangsa bagaimanapun terselamat daripada terjunam ke tebing belukar di selekoh menuju ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Tindakan pantas pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh melakukan kerja-kerja pembersihan berjaya mengelakkan nahas terhadap kenderaan lain.
Komander operasinya, Pegawai Bomba Kanan ll Mohd Ami Hamid berkata, sebuah jentera bomba dari BBP Ayer Keroh dan Pasukan Khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan tujuh anggota dikejar ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati benar ada tumpahan cat di atas jalan raya.
“Pasukan kemudian melakukan kerja-kerja pembersihan dan operasi tamat lebih kurang 1 tengah hari,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, tinjauan mendapati, kerja-kerja pembersihan cat giat dijalankan dengan semburan air selain menabur serbuk kayu. – MalaysiaGazette