Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memaklumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul perlu memaklumkan kekosongan enam kerusi Parlimen dalam masa 21 hari.

Naib presidennya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, perkara tersebut perlu dilaksanakan kerana pihaknya sudah menyerahkan notis kekosongan kerusi-kerusi tersebut kepada Johari hari ini.

“Sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima. Hal ini juga telah diperjelaskan oleh bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

“Pengesahan kekosongan luar jangka ini hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan bahawa sebarang keputusan sesuatu parti politik “adalah muktamad dan konklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Ketua Whip Bersatu itu lagi, kesemua notis pengosongan enam kerusi berkenaan telah ditandatangani beliau.

Ia melibatkan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan.

Tambah Ronald lagi, Johari tidak mempunyai pilihan kecuali bertindak sama seperti sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mengumumkan pengosongan kerusi DUN Nenggiri semalam.

“Secara prinsipnya, saya yakin Tan Sri Johari mahu memastikan badan legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang,” jelas Ahli Parlimen Beluran itu.

Semalam, SPR menetapkan 28 Jun depan bagi satu mesyuarat untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Kelantan.

Ia selepas Yang di-Pertua DUN, Datuk Seri Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi tersebut kosong ekoran Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperolehi 5,707 undi.

Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang pada tahun lepas mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama lima lagi Ahli Parlimen daripada Bersatu. – MalaysiaGazette