ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri hari ini melancarkan Tabung Kasih Johor-Palestin bertujuan membantu rakyat negara itu yang menderita sejak konflik Israel-Palestin tercetus Oktober tahun lalu.
Tabung berkenaan dilancarkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihaknya menyasarkan kutipan
RM2.5 juta dalam tempoh dua bulan sehingga Ogos ini.
Menurutnya, kutipan dibuat secara tunai menerusi tabung yang diletakkan di surau dan masjid seluruh negeri pada setiap Jumaat dan menerusi transaksi akaun yang akan dibuka dalam masa terdekat.
“Terdapat empat kaedah yang digunakan untuk pemberian sumbangan kepada saudara kita di Palestin. Kita juga memohon bantuan daripada Op Ihsan iaitu sebuah gabungan kemanusiaan yang diperakui oleh Kementerian Luar Negeri.
“Pertama bungkusan sumbangan dilakukan rakyat Johor menerusi sukarelawan yang akan dihantar menggunakan jalan laut, bungkusan sumbangan di sempadan Mesir-Gaza, pemberian Khemah di bawah perkampungan Johor di Gaza dan pemberian makanan panas di kem-kem pelarian,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran tabung berkenaan.
Mohd Fared berkata, bantuan masakan panas, khemah dan juga bungkusan dari Mesir akan dihantar terlebih dahulu sebagai bantuan untuk menghadapi musim sejuk di Gaza, Palestin.
Sementara pembungkusan oleh sukarelawan Southern Volunteer dan Briged Aqsa katanya, akan dibuat secara gotong-royong di Johor dengan penghantaran itu dijadualkan pada pertengahan Ogos ini sempena bulan kemerdekaan.
“Kita mendapat nasihat untuk menyediakan minyak zaiton dan tepung jenis yang sesuai untuk penduduk Palestin, barangan yang kita beli pun mengikut aturan yang ditetapkan oleh kementerian berdasarkan nasihat daripada pihak Palestin.
“Segala perbelanjaan yang disumbangkan untuk tabung ini seperti mana arahan Menteri Besar Johor akan diumumkan kepada rakyat bagi menunjukkan ketelusan. Kita tidak mahu disangka seperti kutipan yang mengelirukan,” ujar beliau.
Tambahnya, Majlis Masyuarat Kerajaan (MMK) pada hari ini juga bersetuju dengan langkah tersebut termasuk semua perbelanjaan dikongsikan butirannya membabitkan kos yang terlibat.
Habis