Foto: Fb UEFA Euro 2024

BERLINn – Gol Harry Kane tidak cukup untuk membantu The Three Lions apabila rembatan kuat Morten Hjulmand memastikan Denmark seri 1-1 manakala Sepanyol menang dalam Kumpulan B selepas menewaskan Itali dengan gol sendiri oleh Riccardo Calafiori dalam pusingan kedua peringkat kumpulan Euro 2024 pada Khamis.

England mengawal tempo dan menekan Denmark sejak sepak mula di Deutsche Bank Park yang penuh sesak di Frankfurt.

The Three Lions mencipta peluang pertama mereka apabila Kyle Walker menyediakan umpanan kepada Phil Foden, yang tersasar dari posisi tengah pada minit ke-13.

Walker terus menyibukkan pertahanan Denmark dan membantu Harry Kane dengan gol pembukaan selepas memberikan hantaran silang yang terbias ke dalam kotak penalti lima minit kemudian.

Denmark tidak terkesan dan terus mara ke depan manakala England lebih banyak bertahan.

Usaha Denmark berhasil pada minit ke-30 apabila Morten Hjulmand menjaringkan gol penyamaan dari jarak 25 meter melepasi penjaga gol England, Jordan Pickford.

Selepas rehat, England keluar dengan semangat yang tinggi apabila Foden terkena tiang gol dengan rembatan rendah pada minit ke-56 sebelum penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel, menafikan gol Ollie Watkins dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-71.

Denmark hampir mencatat kemenangan lewat, tetapi sepakan lencong Pierre-Emile Hojbjerg tersasar sedikit dari sasaran pada minit-minit akhir.

“Kami bergelut untuk mengawal perlawanan dan ini membawa kepada aksi yang mencemaskan. Ini mesti diperbaiki jika kami mahu mara lebih jauh dalam kejohanan ini,” kata ketua jurulatih England, Gareth Southgate.

Dalam perlawanan Kumpulan C yang lain, Serbia meraih gol penyamaan masa kecederaan melalui Luka Jovic, yang membatalkan gol pembukaan Benjamin Sesko untuk Slovenia, bagi mengekalkan peluang mereka mara ke pusingan seterusnya.

Dengan keputusan ini, England (empat mata) kekal di tangga teratas carta diikuti Denmark, Slovenia (kedua-duanya dua mata) dan Serbia (satu mata).

Dalam Kumpulan B, Sepanyol menempah tempat ke pusingan 16 terakhir selepas meraih kemenangan kedua berturut-turut.

Sepanyol mendominasi perlawanan sepenuhnya tetapi memerlukan bantuan Calafiori untuk memecahkan kebuntuan pada separuh masa kedua. Itali kekurangan idea untuk mengancam pertahanan Sepanyol dan penjaga gol Gianluigi Donnarumma bekerja keras untuk mengelakkan kekalahan lebih besar.

“Ia bukan mudah, tetapi kami tahu Itali sentiasa lawan yang sukar. Kami lebih gembira kerana berjaya meraih tiga mata penuh kerana kami mahu memenangi gelaran,” kata pemain terbaik perlawanan Nico Williams.

Sepanyol mendahului kumpulan dengan enam mata manakala Itali kekal di tempat kedua dengan tiga mata diikuti Albania dan Croatia, masing-masing dengan satu mata. – Bernama-Xinhua

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast