Idris Brown muncul dengan single Pening hasil ciptaan sepenuhnya oleh Tam Cobain dan Glowrush

KUALA LUMPUR – Juara program nyanyian All Together Now Malaysia (ATNM) musim pertama, Idris Brown pernah membuat langkah berani dan luar biasa dengan menerbitkan single sulung yang bergenre muzik klasikal pada dua tahun lalu.

Tindakan itu mencerminkan keberanian dan kreativiti Idris, 28, dalam meneroka ruang baharu dalam industri muzik yang sering didominasi oleh genre-genre popular.

Dengan keputusannya untuk memperkenalkan muzik klasikal kepada khalayak, Idris menunjukkan keyakinan dan keinginannya untuk mencabar norma-norma sedia ada lalu membuka ruang untuk pengalaman mendengar yang unik dan memperkaya.

Langkah berkenaan meletakkan Idris sebagai seorang artis yang berani mengambil risiko dan tidak terikat dengan kontreversi, menjadikannya seorang ikon inspirasi bagi generasi baru dalam industri muzik tempatan.

Selepas single Dan Berakhirlah pada 2022 mendapat sambutan baik pendengar, terbaharu Idris muncul dengan single Pening hasil ciptaan sepenuhnya oleh Tam Cobain dan Glowrush yang mana berbeza daripada lagu sebelumnya.

“Untuk single Pening ini sangat berbeza dari segi genre dan seterusnya mood atau feel kerana ia membawa mood gembira walau berdepan situasi. Berbanding dengan single sebelum ini yang membawa mood sedih dan pop klasikal.

“Rakaman lagu ini sangat membawa emosi kepada saya kerana dapat bekerjasama dengan beberapa penerbit hebat yang membuatkan saya berasa selesa dan sesuatu kelainan ketika proses rakaman,” katanya.

Idris Brown pernah muncul dengan single Dan Berakhirlah pada 2022.

Menurut Idris, lagu Pening memaparkan mesej mengenai kehidupan harian yang gembira dalam satu komuniti walau berdepan masalah.

Menariknya juga, lagu yang menggunakan lirik positif dan melodi ceria ini menawarkan sesuatu menggembirakan buat semua.

“Lagu ini pastinya dekat dengan halwa pendengar muzik tempatan. Ini kerana, lagu ini agak kena dengan pendengar yang menghadapi situasi ‘pening’ dalam menghadapi masalah harian. Ditambah dengan lirik yang positif dan melodi yang menggembirakan, lagu ini berfungsi sebagai peringatan yang menyentuh mengenai nilai belas kasihan, perpaduan dan renungan kepada setiap insan.

Lagu Pening keluaran Rocketfuel Entertainment itu sudah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital muzik sejak 7 Jun lalu.

Pening boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan melalui kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. Manakala lirik video juga boleh ditonton di saluran YouTube Rocketfuel Network kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast