Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali bercakap ketika mengadakan sidang media Isu Black Rock di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Putra, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 22 JUN 2024.
Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali bercakap ketika mengadakan sidang media Isu Black Rock di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Putra, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 22 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak seharusnya mengizinkan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada BlackRock Inc. melalui Global Infrastructure Partners (GIP), kata Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, sekiranya perkara tersebut berlaku, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah bersekongkol dengan rejim Israel dalam membunuh ribuan penduduk Gaza di Palestin.

“Kalau kerajaan izinkan penjualan saham MAHB, maka mereka akan bertapak negara ini dan boleh menggugat masa depan negara.

“Kalau kerajaan terus mengizinkan BlackRock membeli saham MAHB, secara tidak langsung Malaysia bersengkokol dengan genosid di Gaza.

“Jangan melenting dan nafikan, secara moralnya kerajaan patut malu kepada rakyat yang bertindak memboikot KFC yang menentang keganasan Israel. Tidak malukah kerajaan?” katanya dalam sidang media isu BlackRock di pejabatnya, hari ini.

GIP dalam kenyataan sebelum ini berkata, BlackRock tidak terlibat dalam transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui Gateway Development Alliance (GDA).

Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pentadbirannya tidak membenarkan mana-mana syarikat dari Israel beroperasi di negara ini, namun bagi syarikat asing yang mempunyai kaitan dengan negara Zionis itu, tidak mempunyai keupayaan membatalkan kehadiran mereka kerana dikhuatiri menjejaskan ekonomi negara.

Ibrahim menggesa agar kerajaan membatalkan langkah yang tidak menguntungkan rakyat dan beliau akan menghantar memorandum kepada Anwar sekiranya gesaan Putra tidak diendahkan kerajaan.

“Perdana Menteri jangan ambil perkara ini sebagai peribadi, ini berkaitan dengan masa depan negara, batalkan pembelian saham BlackRock Inc dalam MAHB.

“Putra akan menghantar memorandum bantahan secara rasmi kepada Anwar dan CEO MAHB (Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh) bagi menyatakan bantahan kita,” katanya.

Semalam, Pemuda UMNO mendesak kerajaan menghentikan serta-merta usaha penjualan saham MAHB kepada BlackRock Inc. melalui GIP atas nama solidariti bersama rakyat Palestin.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, usaha tersebut bertentangan dengan pendirian Malaysia yang selama ini mendokong perjuangan Palestin menentang genosid di negara itu.

Selain itu katanya, tindakan tersebut akan mendedahkan aset berkepentingan nasional dan awam kepada pihak yang rapat serta mempunyai simpati kepada agenda rejim Zionis. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here