Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengesan sejumlah 506 taman asuhan kanak-kanak (taska) tidak daftarkan sehingga Mei tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kesemua taska itu kini berada di bawah tindakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi taska yang tidak berdaftar ini, kita menggunakan pendekatan yang pelbagai, termasuk notis peringatan serta tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan Akta 308 iaitu lak (sita), kompaun serta pendakwaan.

“Berdasarkan keputusan terhadap kertas siasatan yang dibuka dan selesai dilengkapkan, sebanyak lapan buah taska telah dikenakan tindakan lak, 17 telah di kompaun dan dua kes telah didakwa di mahkamah antara tahun 2020 hingga Mac 2024,” jawab Nancy ketika menjawab di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Idris Ahmad mengemukkaan soalan kepada KPWKM mengenai statistik bilangan taska yang dikesan tidak berdaftar dengan JKM dan sejauh manakah tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap taska berkenaan.

Dalam pada itu, Nancy berkata, ada sesetengah taska yang menepati standard minimum pengoperasian seperti yang ditetapkan oleh JKM, tetapi tidak berdaftar kerana pelbagai faktor.

Antaranya kesukaran menepati syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berbeza antara satu kawasan PBT dengan yang lain.

“Bagi taska yang berdepan dengan situasi sebegini kita mengambil pendekatan untuk membantu mereka dengan memberi khidmat nasihat serta melaksanakan inisiatif memudahcarakan proses mereka memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan serta PBT.

“Perkara ini dilakukan melalui pengaktifan One Stop Centre (OSC) di peringkat negeri dan daerah,” jawab Nancy.

Nancy berkata antara September 2023 hingga 31 Mei 2024, sebanyak 189 taska telah berjaya dibantu sehingga lulus pendaftaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast