Anthony Loke Siew

PUTRAJAYA – Semua kenderaan asing perlu mematuhi undang-undang jalan raya di Malaysia susulan pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) mulai 1 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan tidak akan membuat ‘pusingan U’ dan serius dalam melaksanakan peraturan tersebut.

“Bermula 1 Oktober, VEP akan dikuat kuasakan. Mesejnya adalah jelas, saya berharap pemandu dari Singapura yang kerap masuk ke Malaysia, perlu patuh kepada undang-undang dan peraturan ditetapkan.

“Jika sebelum ini mereka (kenderaan dari Singapura) yang ada banyak saman, sukar untuk kita kesan. Jadi dengan pelaksanaan VEP, mana-mana kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dan melanggar undang-undang kita, mereka perlu bayar saman sebelum meninggalkan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia Ke-4, di sini, hari ini.

Bermula 1 Oktober depan, semua kenderaan asing dari Singapura diwajibkan mempunyai VEP.

Peraturan itu akan dikuat kuasakan untuk pintu masuk di kedua-dua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan di Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura.

Penguatkuasaan VEP itu bertujuan memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya di negara ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai rungutan segelintir pemilik kenderaan dari Singapura yang mendakwa mereka sukar mendaftar VEP terutama dalam kalangan pemilik kenderaan terpakai, Loke memberitahu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan berusaha menyelesaikan sebarang masalah
berbangkit.

“Sebaik kita meneliti kesulitan dihadapi itu, kita akan buat pengumuman nanti dan Bahagian Darat (kementerian) serta JPJ sedang menangani isu ini. Saya sendiri akan pergi ke Johor untuk membuat pemeriksaan nanti.

“Akan ada pengumuman yang dibuat nanti terutama dari segi penambahbaikan. Kita akan berusaha menangani dan memudahcarakan tetapi, jangan harap kita buat pusingan U,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast