Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan tidak berhasrat untuk membina laluan khas bagi motosikal di lebuh raya yang sedang beroperasi pada masa ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan itu hanya akan melibatkan tambahan kos yang tinggi kepada kerajaan berikutan skop berkenaan tiada dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya.

“Bagaimanapun, pihak kerajaan akan meneliti perkara ini dalam rundingan cadangan projek lebuh raya baharu pada masa akan datang tertakluk kepada beberapa faktor seperti kadar tol dan tempoh konsesi,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Nanta Linggi menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang mengutarakan persoalan mengenai perkembangan terkini dasar mewajibkan laluan khas motosikal di lebuh raya dan hasrat untuk menambah baik lebuh raya yang tidak mempunyai laluan khas motosikal termasuk Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3).

Dalam soalan sama, Shaharizukirnain turut ingin tahu mengenai usaha kerajaan dalam mengurangkan risiko ancaman keselamatan di laluan motosikal yang disediakan di lebuh raya.

Menjawab kedua-dua soalan berkenaan, Nanta Linggi berkata perkara itu akan diteliti di peringkat Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Ini kerana cadangan laluan khas penunggang motosikal ini akan memberikan impak kepada kos pembinaan dan daya maju projek tersebut yang akhirnya akan diimbangi oleh kadar tol tinggi dan tempoh konsesi lebih panjang,” katanya.

Menyentuh mengenai usaha mengurangkan risiko ancaman keselamatan di laluan motosikal yang disediakan di lebuh raya, Nanta Linggi berkata, pemantauan aspek keselamatan dilaksanakan menerusi rondaan berkala oleh syarikat konsesi lebuh raya.

Katanya, pemantauan juga dibuat menerusi imej kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di beberapa lokasi berisiko dan strategik di lebuh raya.

“Selain itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya termasuk penunggang motosikal.

“Usaha turut dijalankan oleh LLM dan syarikat konsesi untuk mengurangkan kadar kemalangan melibatkan penunggang motosikal menerusi kempen keselamatan yang diadakan dari semasa ke semasa serta kerjasama dengan komuniti setempat,” katanya.

Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata Kementerian Kerja Raya melalui LLM dan syarikat konsesi lebuh raya sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna di lebuh raya.

Di bawah inisiatif Bitara Malaysia Madani katanya, tempat berteduh motosikal merupakan salah satu daripada kemudahan yang disediakan untuk memastikan keselamatan golongan terdedah terutamanya penunggang motosikal untuk berlindung semasa cuaca buruk.

Untuk rekod, sejak Januari 2023, sebanyak 98 lokasi tempat berteduh motosikal telah disiapkan dan 21 lokasi lagi dijangka akan siap sebelum akhir tahun 2024 menjadikan keseluruhan 119 lokasi siap dibina. – MalaysiaGazette