KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik cadangan Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (Hartaguam) agar pelanggan menyemak latar belakang sebelum melantik seseorang peguam hartanah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ulasan cadangan Hartaguam itu kena pada masa dan keadaan memandangkan terdapat pelanggan yang menanggung kerugian yang banyak akibat percayakepada peguam yang rakus.
“Namun, isu paling terkedepan yang ingin diangkat oleh JSJK adalah mengenai keperluan akaun amanah dikawal oleh kedua-dua peguam dan anak guamnya.
“Hanya melalui kaedah ini jenayah pecah amanah oleh peguam ini dapat dihapuskan sepenuhnya,”katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah Ramli, ia bukan cadangan yang rumit, sebaliknya memudahkan semua pihak yang berurusan membabitkan transaksi kewangan melalui peguam.
“Jika ada apa-apa sebab yang tidak diketahui oleh masyarakat mengenai akaun amanah hanya boleh diuruskan oleh firma guaman dan tidak bersifat dua pihak, maka perkara itu perlu diperjelaskan untuk kefahaman masyarakat.
“Jika tindakan ini tidak dilakukan, maka masyarakat akan membuat pelbagai tanggapan termasuklah tidak terhad kepada hal bahawa peguam menggunakan wang anak guam untuk perniagaan, untuk pelaburan di institusi kewangan, malah untuk tujuan pengubahan wang haram.
“Justeru, hanya ketelusan yang dapat mengelakkan apa-apa persepsi negatif terhadap institusi mulia guaman,” katanya. – MalaysiaGazette