Operasi bersepadu dilakukan pihak polis, Jabatan Kastam dan JAS menahan 58 PATI di sebuah kilang haram di Bandar Penawar, Kota Tinggi malam semalam

KOTA TINGGI – Tiga lelaki tempatan dan 58 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu serbuan di sebuah kilang haram di Bandar Tenggara dekat sini pada awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, serbuan pada pukul 3.30 pagi itu merupakan operasi bersepadu melibatkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 Simpang Renggam, Jabatan Kastam dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

“Dalam serbuan ini kita menahan dua lelaki warga tempatan iaitu penjaga kilang dan 53 lelaki dan lima wanita warga asing berusia lingkungan 18 hingga 53 tahun yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Selain itu, kita turut berjaya merampas satu plastik lutsinar kecil berisi serbuk ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu berat 0.46 gram daripada seorang lelaki tempatan terbabit dan ujian mendapatinya positif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Seramai 58 PATI ditahan kerana tiada memiliki dokumen yang sah dalam serbuan di sebuah kilang haram di Bandar Penawar, Kota Tinggi malam semalam

Beliau berkata, pihaknya kemudian menahan penyelia kilang tersebut semasa hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada pukul 10.30 malam tadi.

Menurut beliau, semua suspek tersebut ditahan reman selamat empat hari bermula hari ini.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 55E (1), Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) selain Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tambah Hussin, kes berkenaan turut disiasat bawah 34A dan 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here