KUALA LUMPUR – Bertemakan ‘Menginspirasikan Kecemerlangan Malaysia menerusi Pembelajaran Sepanjang Hayat’ – Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 berjaya menjadi platform kepada semua golongan untuk terus belajar sesuatu yang baharu bagi memperkasa diri, komuniti sekaligus negara.
Itu antara cetusan diluahkan oleh Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood yang menyifatkan pembelajaran sepanjang hayat itu bukan sahaja satu keperluan sebaliknya juga budaya bagi rakyat Malaysia untuk terus mengcungkil potensi diri.
Kata beliau, itulah juga nilai yang cuba diterapkan dengan penganjuran NTW 2024 yang pelaksanaanya melibatkan lima teras utama iaitu Kemahiran Hidup, Kemahiran Masa Depan, Kreativiti dan Inovasi, Kemahiran Kewangan dan Pembangunan Mampan.
“Hari ini, saya berdiri di hadapan ribuan pendengar dan penonton, bercakap dengan anda dengan penuh berani kerana adanya inisiatif ini, belajar sepanjang kehidupan saya, mencuba sesuatu untuk terus cungkil bakat dan potensi diri.
“Mungkin ketika saya menjadi penuntut, saya juga mempunyai ketakutan dalam diri saya untuk cuba sesuatu yang baharu, untuk beranikan diri naik pentas, gugup dan sebagainya. Tetapi ia tidak berhenti dari situ sebaliknya saya cekalkan diri dan motivasikan diri.
“Inilah juga objektif dan sasaran kita, kembangkan budaya pembelajaran sepanjang hayat, sentiasa teruja dan cuba sesuatu pada setiap masa,” katanya dalam sesi perkongsian ‘Lifelong Learning: Embrace Your Potential’ di hadapan lebih 500 hadirin khasnya dalam kalangan pelajar sekolah dan penuntut IPTA dan IPTS di Stadium Bukit Jalil semalam.
Dalam pada itu, Shahul berkata, banyak yang telah dipelajari dan diajar sepanjang berlangsungnya NTW2024 kali ini dengan 25,000 kursus dan latihan percuma ditawarkan sepanjang enam hari program ini berlangsung.
“Latihan yang ditawarkan bagi program ini diadakan secara percuma di pelbagai lokasi melalui pelbagai mod dan platform pembelajaran. Teruskan belajar, kenali potensi anda bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi secara keseluruhannya.
“HRD Corp telah menetapkan sasaran yang lebih besar untuk NTW 2024, dengan 200,000 pendaftaran, 25,000 kursus latihan percuma, dan 500 aktiviti pembelajaran. Pada 2023, NTW berjaya mencapai lebih 129,000 penyertaan lebih 21,000 kursus latihan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Untuk makluman, NTW 2024 turut melibatkan beberapa nama besar seperti Petronas, Malaysia Airlines, Pos Malaysia, UMW Malaysia, PERODUA, Northport, Petrosains, Farm Fresh, Bookxcess, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Asia School of Business dan banyak lagi.
Antara kursus menarik yang ditawarkan berdasarkan teras itu termasuk Kursus Kemahiran dan Kepimpinan Peribadi, Penggunaan Perisian Rekaan Grafik tahap pemula dan perantaraan, Cara Membina Aplikasi Mobile, Pengekodan dan Robotiks, Penguasaan Wang Bijak dan Strategi Efektif untuk Kejayaan Kewangan serta banyak lagi.
Selain kursus latihan, HRD Corp bersama rakan kolaborasi yang terdiri darpada agensi kerajaan dan swasta turut mengadakan lebih 736 aktiviti pembelajaran di seluruh negara.
NTW 2024 berjaya mendaftarkan kira-kira 375,000 rakyat Malaysia dalam 65,000 kursus latihan percuma, melepasi sasaran asal KSM iaitu 200,000 peserta dalam 25,000 kursus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim hadir penutupan NTW 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil melahirkan rasa teruja dengan kejayaan luar biasa dicapai melalui program latihan ini yang turut berjaya memberikan ruang meningkatkan kemahiran dan pembelajaran secara percuma. – MalaysiaGazette