Tiong King Sing

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengaktifkan semula Majlis Pelayaran Malaysia yang menghubungkan pembuat dasar dengan pemain industri bagi menetapkan halatuju industri serta mengatasi sebarang halangan yang merencatkan pembangunan industri kapal persiaran.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ini termasuk menambahbaik infrastruktur pelabuhan serta penambahbaikan tadbir urus perkastaman, imigresen dan kuarantin (CIQ).

“Berdasarkan penilaian, Pelabuhan Sandakan merupakan pelabuhan transit yang boleh dipopularkan terutama bagi pelancong dari Eropah di mana destinasi eko pelancongan dan wildlife merupakan tarikan utama di Sandakan,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang ingin tahu langkah akan diambil oleh kementerian bagi membangunkan Sandakan sebagai salah satu destinasi pelayaran di Malaysia memandangkan Sandakan merupakan destinasi popular bagi pelancong-pelancong dari Eropah.

Terdahulu, King Sing berkata, pihaknya bersama agensi-agensi di bawah kementeriannya telah mengadakan lawatan tapak di Sandakan pada April lalu bagi meninjau kemudahan sedia ada serta menilai tahap kesesuaian untuk dipromosikan lebih jauh.

Katanya, Kementerian Pengangkutan juga telah menjemput pihaknya bersama Tourism Malaysia untuk menghadiri satu perbincangan pada 3 Mei lepas untuk mengenalpasti langkah seterusnya bagi menghidupkan semula industri pelayaran di Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast