Gambar hiasan

BAITULMAQDIS – Syarikat penerbangan nasional Israel, El Al mendakwa penerbangannya dari Warsaw ke Tel Aviv tidak dibenarkan mengisi minyak di Lapangan Terbang Antalya, Türkiye pada 30 Jun lalu selepas melakukan pendaratan kecemasan untuk memindahkan penumpang yang sakit.

Pekerja Turki di Lapangan Terbang Antalya enggan mengisi minyak penerbangan LY5102 sebelum ia boleh berlepas ke Israel, kata El Al dalam satu kenyataan.

“Pekerja tempatan enggan mengisi minyak pesawat syarikat walaupun ia terlibat dalam kes perubatan,” katanya, sambil menambah penumpang berkenaan telah dipindahkan.

Pesawat itu kemudian berlepas ke Rhodes di Greece, untuk mengisi minyak sebelum berlepas ke Israel, kata syarikat penerbangan itu.

Hubungan antara Turkiye dan Israel telah merosot sejak perang di Gaza meletus pada 7 Oktober 2023, dengan semua penerbangan terus antara kedua-dua negara dibatalkan sejak itu.

Sumber diplomatik Türkiye mengesahkan pesawat itu dibenarkan melakukan pendaratan kecemasan untuk memindahkan penumpang yang sakit.

“Bahan api akan diberikan kepada pesawat atas pertimbangan kemanusiaan, tetapi memandangkan prosedur berkaitan hampir selesai, kapten memutuskan untuk pergi atas kerelaannya sendiri,” kata sumber diplomatik Türkiye.

Akhbar Israel The Times of Israel berkata, pesawat itu berada di landasan di Antalya selama beberapa jam sebelum berlepas ke Rhodes.

Presiden Recep Tayyip Erdogan telah menjadi pengkritik lantang terhadap kempen ketenteraan Israel di Gaza, dan sering menyatakan sokongan kepada kumpulan Hamas sebagai pembela tanah air mereka.

Hamas diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas oleh Israel, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Perang Israel-Hamas tercetus selepas serangan Hamas pada 7 Okttober ke atas selatan Israel yang mengakibatkan kematian 1,195 orang, kebanyakannya orang awam.

Serangan tentera balas Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 37,877 orang di Gaza, juga kebanyakan orang awam, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah kendalian Hamas. – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here