Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew

PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan kadar fi untuk mencetak Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) di Semenanjung diturunkan dari RM50 kepada RM20 berkuatkuasa hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi bayaran VOC di Sabah RM25 juga akan diturunkan kepada RM20 manakala kadar fi RM5 di Sarawak dikekalkan.

“Penyelarasan ini bertujuan untuk merapatkan jurang perbezaan kadar fi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anthony turut memaklumkan, tempoh kekerapan pemeriksaan berkala untuk kenderaan sekolah memandu akan turunkan dari setiap enam bulan kepada setahun bagi kenderaan yang berumur 10 tahun dari tarikh pendaftaran.

“Bagi kenderaan atas 10 tahun, pemeriksaan adalah kekal setiap enam bulan dan pengecualian pemeriksaan juga akan diberikan kepada kenderaan baharu sekolah memandu yang berumur tidak lebih tiga tahun.

“Dasar ini menggalakkan sekolah memandu menyediakan kenderaan lebih baharu untuk digunakan oleh calon,” ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Anthony memaklumkan, sebanyak 23,649 permohonan pendaftaran permit kemasukan kenderaan motor asing (VEP) telah diterima antara 28 Mei sehingga 29 Jun.

“Jumlah ini melebihi permohonan keseluruhan bagi tahun lalu iaitu 15,424.

“Bagi tempoh sama, beliau berkata, 6,210 tag VEP telah dikeluarkan kepada pemohon manakala 1,080 tag telah diaktifkan, ” katanya.

Susulan itu, penerima diingatkan untuk mengaktifkan tag tersebut dengan memuatnaik gambar nombor pendaftaran kenderaan bersama tag yang telah dilekatkan di https://vepams.jpj.gov.my dan tag VEP tidak sah sekiranya tidak diaktifkan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here