Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melawat replika Pavilion China pada Majlis Perasmian Seni Bina, Hiasan Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 3 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemain industri khusus sektor pembinaan dan reka bentuk agar tidak meminggirkan budaya dan keperluan masyarakat berbilang kaum dalam pembangunan negara.

Beliau berkata, tuntutan pembangunan negara tidak terhad kepada aspek keperluan perumahan rakyat sahaja, bahkan perlu prihatin kepada permasalahan persekitaran dalam memenuhi tuntutan semasa.

“Kita menghadapi beberapa cabaran terkini dari segi keperluan meningkatkan usaha pembangunan dan juga menentukan supaya rangka pembangunan itu tidak menyisihkan mana-mana masyarakat.

“Sebab itu perumahan, industri terkait termasuk arkitek punyai peranan untuk merangka pembangunan, serasi dengan tuntutan semasa, bukan sahaja keperluan perumahan rakyat semata-mata,” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri berucap merasmikan Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Perdana Menteri mengingatkan pemain industri agar pembangunan yang dirangka meliputi perumahan rakyat menerapkan identiti dan semangat budaya masyarakat berbilang kaum.

“Ia menjadi sesuatu yang memalukan jika kita tidak mempertimbangkan ciri-ciri tersebut dalam perancangan atau pembinaan (seni bina).

“Penting bagi pemaju, arkitek, perancang bandar dan pembuat  dasar untuk memastikan bahawa ia berbudaya, moden dan berteknologi canggih tetapi mesra alam.

“Pemain industri jangan mengulangi atau melebihkan kedua-dua bandar, di mana salah satunya untuk masyarakat elit mendapat pelbagai kelebihan, manakala bandar untuk masyarakat miskin serba kekurangan,” katanya.

ARCHIDEX 2024 yang berlangsung mulai 3 hingga 6 Jun ini melibatkan kira-kira 700 pempamer tempatan dan antarabangsa merentasi lebih 1,500 reruai pameran, serta 40,000 pelawat dari lebih 100 negara.

ARCHIDEX menawarkan pelbagai tema pameran yang disesuaikan dengan keperluan industri, termasuk teknologi audio visual dan pencahayaan, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Perdana Menteri turut mengingatkan arkitek tempatan agar tidak melupakan budaya dan keunikan budaya tempatan meskipun kebanyakan mereka mendapat latihan dan pendidikan dari negara Barat.

“Kebanyakan arkitek kita dilatih di negara Barat, bahkan di sini ada reka bentuk Barat, ramai juga arkitek muda kita lebih biasa dan komited untuk pastikan apa yang kita bina bukan di satu lagi bandar lain (luar negara),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast