Lokman Adam

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara membenarkan rayuan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berhubung sabitan menghina mahkamah membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk P Nalini membenarkan rayuan Lokman terhadap hukuman penjara sebulan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi selepas membuat ugutan terhadap salah seorang saksi pendakwaan prosiding 1MDB.

Selain Nalini, panel hakim lain ialah Hakim Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Datuk Abu Bakar Jais yang sebulat suara membenarkan permohonan Lokman dan mengenakan bon berkelakuan baik selama setahun.

Selain itu, Lokman juga membuat permohonan maaf tanpa syarat di hadapan panel hakim Mahkamah Persekutuan hari ini.

Pada 2021, Mahkamah Tinggi melalui Hakim Datuk Collin Lawrence mendapati Lokman Noor bersalah menghina mahkamah kerana mengugut bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes 1MDB.

Pada 26 Oktober 2022, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman selepas menolak rayuannya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman serta rayuan silang pendakwa raya untuk menambah hukuman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021.

Lokman kemudian menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung sabitan menghina mahkamah Disember tahun lepas.

Pada 22 Oktober 2019, hakim memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor kerana tindakannya yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.

Menurut Thomas, pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi.

Thomas berkata pada hari sama, Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang juga saksi pendakwaan kelapan, berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.

Katanya matlamat atau tujuan tindakan Lokman ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here