Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan sebahagian batang kabel yang dipotong pelbagai ukuran anggaran harga RM205,000 berjaya dirampas di IPK Selangor, Shah Alam. Foto SYADILA AMARI, 02 JULAI 2024.

SHAH ALAM – Cubaan dua lelaki untuk mencuri kabel tembaga bawah tanah milik Telekom Malaysia (TM) bernilai RM205,000 terbongkar selepas disedari pihak polis di bulatan Taman Hillview dekat Ampang Jaya, kira-kira jam 5.20 pagi, 28 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketika kejadian, anggota unit rondaan bermotosikal (URB) terserempak dengan dengan sebuah lori pikap jenis Ford Ranger dengan muatan kabel dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota URB menghampiri kenderaan tersebut dan mengarahkan berhenti, namun dia memecut laju dan berlaku kejar-mengejar dari Lebuhraya Suke menghala ke Ampang.

“Semasa kejar-mengejar, salah seorang suspek telah terjun dari kenderaan itu namun berjaya ditahan. Suspek lain terus memandu dan melanggar palang tol hingga menyebabkan motokar terbabas di bahu jalan serta dua suspek berjaya melarikan diri.

“Anggota polis dari MPV Balai Polis Huu Kelang kemudiannya menahan seorang lelaki tempatan berumur 34 tahun di Taman Hillview dan suspek gagal mengemukakan kad pengenalan diri,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, di sini, hari ini.

Katanya, hasil tangkapan itu membawa pihaknya membuat penahanan susulan ke atas enam lelaki dan tiga perempuan berumur 17 hingga 33 tahun di Bandar Botani dan Jalan Taman Kem Pelabuhan, Klang antara 5 hingga 6.30 petang, 29 Jun lalu.

“Pada 1 Julai jam 3 petang pula, sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya membuat tangkapan susulan terhadap dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara asing di Kampung Baru Teluk Gong, Klang, pada 1 Julai.

“Mereka yang berumur 22 hingga 54 tahun itu disyaki terlibat dan dua di antara suspek tersebut merupakan pembeli kabel curi.

“Hasil ujian air kencing terhadap dua suspek dapati positif dadah jenis “meth” dan “amp”.

“Semakan dapati sembilan suspek mempunyai dua hingga 14 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan narkotik, manakala dua suspek tiada rekod jenayah,” katanya.

Katanya, ketika tangkapan, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan untuk mencuri kabel TM termasuk 76 kabel yang dipotong pelbagai ukuran, tiga lori pikap dan sebuah kereta sedan.

“Turut dirampas tiga mesin gerudi pelbagai jenama, sebuah mesin kimpal, tali sling (10), kuku kambing (1), besi “main hole key” (1), dan telefon bimbit pelbagai jenama (4),” katanya.

Tambah Hussein, siasatan polis mendapati, suspek disyaki terlibat dengan empat kes di daerah Ampang Jaya, dua kes di daerah Shah Alam serta tiga kes dalam Kontinjen Melaka yang melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM205,000.

“Modus operandi suspek menyasarkan kabel TM bawah tanah dengan memotong dan menarik menggunakan lori pikap dan suspek aktif mencuri kabel sejak setahun lalu,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 431a Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Sabit kesalahan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast