Bas persiaran terbalik ketika turun daripada Genting Highlands pagi tadi. Gambar: Media Sosial

 

KUALA LUMPUR – Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan dua warga China maut di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands Sabtu lalu akan dituduh di Mahkamah Bentong, pagi esok.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, lelaki berusia 32 tahun itu akan dituduh jam 9 pagi esok dengan dua pertuduhan.

Pemandu tersebut akan didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (kemalangan sehingga menyebabkan kematian dan Seksyen 26 (1) Akta sama kerana tidak memiliki lesen memandu.

Kemalangan itu berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan turun dari Genting Highlands.

Semasa kejadian, bas berkenaan membawa 21 individu termasuk 18 penumpang warga asing serta tiga warga tempatan iaitu masing-masing seorang pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong.

Kementerian Pengangkutan mengesahkan permit bas berkenaan sudah tamat tempoh semasa kejadian berlaku.

Malah, bas persiaran berkenaan sudah berusia 15 tahun, iaitu melebihi had usia dibenarkan iaitu hingga 12 tahun dan tambahan tiga tahun sekiranya ada rayuan.

Zaiham turut mengesahkan, pemandu bas persiaran berusia 32 tahun itu didapati tidak mempunyai lesen memandu, selain memiliki 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesalahan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here