Pengerusi syarikat bergelar Datuk antara dua yang ditahan SPRM hari ini berkaitan projek lebuh raya bernilai RM1 bilion.

KUALA LUMPUR – Dua lagi individu iaitu seorang pengerusi dan pengarah syarikat sub kontraktor telah direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit dalam rasuah bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai lebih RM1 bilion.

Sumber memberitahu, kedua-dua suspek lelaki yang berusia lingkungan 40-an hingga 50-an ditahan itu telah ditahan antara jam 9 hingga 12 tengah malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Kedua-dua individu itu kemudian telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi oleh SPRM untuk permohonan reman.

Majistret Irz Zulaikha membenarkan suspek, pengerusi syarikat bergelar Datuk direman selama lima hari sehingga 6 Julai ini.

Manakala pengarah syarikat dibenarkan direman selama tiga hari sehingga 4 Julai ini bagi membantu siasatan lanjut SPRM.

Artikel berkaitanSPRM tahan 8 individu babitkan rasuah projek lebih RM1.6 bilion

“Kedua-dua suspek disyaki memberi rasuah lebih RM200,000 kepada pegawai-pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja-kerja projek pembinaan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain.

“Mereka juga dipercayai turut memberi rasuah kepada pegawai-pegawai di sebuah syarikat konsesi lebuh raya untuk tujuan yang sama,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas kedua-dua individu tersebut.

Kata beliau, siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Hishamuddin turut mengesahkan kesemua suspek yang ditahan reman sebelum ini telah dilepaskan selepas tamat tempoh reman semalam, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat konsesi lebuh raya dengan jaminan RM150,000.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here