Gambar hiasan

BANGKOK- Ketidaktentuan harga kenderaan elektrik (EV) dan nilai tuntutan yang tinggi menyebabkan syarikat insurans kereta terbesar di Thailand membatalkan kadar premium standard dan beralih untuk menyemak permohonan berdasarkan kes demi kes.

Pengumuman itu dibuat syarikat Tokio Marine Safety Insurance Plc hari ini disebabkan kebimbangan industri terhadap cabaran unik dalam menyediakan insurans kepada EV.

Tambah syarikat itu, ia akan memberi pertimbangan terhadap perlindungan kepada pelanggan-pelanggan baharu berdasarkan kes demi kes.

Bagi pelanggan sedia ada yang mahu memperbaharui polisi, syarikat itu akan membuat penilaian kadar premium berdasarkan rekod tuntutan.

Tokio Marine membuat penjelasan itu sebagai maklum balas terhadap hantaran dalam talian yang memberi gambaran ia akan berhenti memberi insurans kepada EV.

Jelasnya, perkhidmatan itu masih ada namun tertakluk kepada perubahan syarat.

Menurut laporan media tempatan, Persatuan Insurans Am Thailand baru-baru ini memberi peringatan kepada ahli-ahlinya berhubung insurans EV.

Katanya, dalam sesetengah kes, alat ganti EV adalah 50-60 peratus lebih mahal berbanding kereta biasa.

Selain itu, terdapat banyak tuntutan kerosakan adalah 90 hingga 100 peratus daripada nilai kereta.

Pengalaman di negara-negara lain turut menunjukkan kerosakan teruk berlaku terhadap bateri EV dan terpaksa ditukar sepenuhnya meskipun hanya terlibat dalam kemalangan kecil.

Untuk rekod, pek bateri kebiasaannya merangkumi separuh daripada keseluruhan kos EV.- Bangkok Post

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here