KUALA LUMPUR – Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) telah digunakan selama lebih enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan, kata Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga mendapati, kontrak FWCMS tidak dimuktamadkan dan ditandatangani antara vendor dan kerajaan walaupun surat penerimaan telah dikeluarkan pada 12 Januari 2018.
“PAC telah membuat kesimpulan bahawa tempoh pelaksanaan untuk membangunkan FWCMS berakhir pada Mei 2024 mengikut surat penerimaan dan perjanjian itu masih belum ditandatangani setakat 13 Mac,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Mas Ermieyati berkata, prosiding PAC juga mendapati Kabinet pada 26 Ogos 2015 telah meluluskan pembangunan sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing (ePPAx) dan FWCMS yang merupakan dua sistem di bawah konsep satu tetingkap.
“Ini mengakibatkan pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing dan pembaziran dana awam,” katanya.
Mas Ermieyati berkata, laporan PAC mengenai ePPAx dan FWCMS di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri, masing-masing berdasarkan empat prosiding yang dijalankan oleh jawatankuasa itu.
Prosiding diadakan pada 5 Disember 2023; 22 Januari dan 13 Mac tahun ini memanggil saksi dari Jabatan Audit dan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Buruh Semenanjung Malaysia dan Bestinet Sdn Bhd, vendor untuk sistem FWCMS.
Kementerian Dalam Negeri, Bestinet telah memohon untuk menyambung kontrak untuk tempoh enam tahun dan menaikkan yuran kutipan kepada RM120 daripada RM100, kata Mas Ermieyati.
“Pada 24 Jun lalu, Kementerian Dalam Negeri telah memaklumkan bahawa Kabinet bersetuju untuk melanjutkan kontrak selama tiga tahun dengan Bestinet.
“PAC akan mendapatkan maklumat tersebut dalam prosiding susulan akan datang yang akan dijalankan tiga bulan mulai hari ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette