Tan Sri Musa Hassan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan tidak mempunyai bukti bahawa pemimpin DAP, Hannah Yeoh mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.

Perkara itu dipersetujui Musa ketika disoal balas peguam Hannah, Razlan Hadri Zulkifli bahawa beliau tidak mempunyai bukti itu ketika memegang jawatan KPN.

Musa berkata, beliau tidak pernah lihat dokumen mengenai laporan mengkristian orang Islam oleh individu tertentu.

Namun beliau menafikan mengaitkan Hannah dengan cubaan mengkristiankan orang Islam di negara ini, kerana wanita itu dalam kalangan ahli politik DAP.

“Saya tidak pernah ingin menyatakan secara literal bahawa Hannah ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian, namun pergerakan Hannah mampu memberikan kesan kepada keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam keterangan saksi defendan tunggal yang disaman oleh Hannah dalam kes saman fitnah, berhubung ucapannya dalam satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM), empat tahun lalu.

Kata Musa, walaupun buku Becoming Hannah: A Personal Journey tulisan Menteri Belia dan Sukan itu diluluskan kerajaan untuk dijual kepada umum namun ia tidak bermakna buku itu tidak akan menimbulkan kegusaran khususnya kepada penduduk majoriti Melayu di negara ini.

“Saya faham Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan penyebaran agama Kristian adalah tidak dibenarkan kerana penggubal perlembagaan tahu akan kepincangan yang mungkin berlaku sekiranya ini dibenarkan.

“Malahan tangkap layar paparan hantaran Facebook Hannah bertarikh 3 Jun 2016 dengan jelas menunjukkan plaintif sendiri mengakui beliau seorang evangelist. Walaupun Hannah anggap hantaran itu gurauan namun tidak dapat dinafikan umum membacanya anggap beliau evangelist,” katanya.

Dalam pada itu, Musa juga menafikan beliau mempunyai apa-apa niat jahat untuk menimbulkan kebencian, penghinaan terhadap beliau secara peribadi atau politik.

“Ucapan saya bersifat akademik dalam mengupas dan membincangkan secara lanjut tajuk forum yang diberikan penganjur,” ujarnya.

Prosiding akan bersambung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi bersambung 25 Julai ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast