MERSING – Orang ramai khususnya masyarakat maritim berhati-hati dan melakukan sebarang aktiviti di perairan daerah ini berikutan dikesan kehadiran gastropoda.
Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor (JPNJ) , Nurhuda Ibrahim berkata, gastropoda yang merupakan organisma akuatik itu mempunyai sengat dan berbahaya kerana boleh menyerang manusia.
“Kehadiran gastropoda dikesan oleh pasukan penyelidik dari Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung pada 11 Jun lalu di kepulauan Mersing.
“Gastropoda berasal dari perairan tropika dan subtropika. Perubahan iklim, peningkatan suhu air dan air ‘ballast’ perkapalan dipercayai menjadi punca penyebaran spesis ini ke perairan Malaysia.
“Moluska ini mempunyai sengat yang boleh menyebabkan keradangan, kegatalan, kekeringan, pengelupasan, kemerahan dan kulit bersisik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesan daripada sengatan itu akan mempunyai tindak balas hipersensitif terhadap kulit manusia.
Mereka yang terkena sengatan itu katanya, perlu mendapatkan rawatan segera bagi mengelak menjadi lebih teruk dan mudarat.
“Serangan ini bukan kali pertama, dimaklumkan oleh penyelidik jabatan dari Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung, memang ada sebelum ini tetapi tidak berlaku rebakan sebanyak ini,” katanya.
Menurut beliau, kehadiran gastropoda dijangka berakhir selepas peralihan monsun.
Tambah Nurhuda, pihaknya akan memantau kehadiran gastropoda sehingga situasi selamat.- MalaysiaGazette