KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Bangladesh di sekitar Chow Kit, di sini, semalam yang disyaki menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen di negara ini.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, suspek berusia 24 tahun yang ditahan dalam oeprasi khas itu dadapati memiliki pas pelajar.
“Semakan awal mendapati, suspek memiliki pas pelajar yang masih sah laku bagi mengaburi pihak berkuasa untuk menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Operasi bermula jam 8.30 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurut Ruslin, berdasarkan maklumat risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke sebuah bilik hotel yang dijadikan markas aktiviti suspek.
Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket itu telah beroperasi selama tiga bulan dan modus operandi dikesan bergerak secara individu dengan menyediakan perkhidmatan pasport palsu kepada warga asing dari Bangladesh, Nepal, India dan Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan.
“Sindiket ini menggunakan pasport itu untuk mendapatkan dokumen FOMEMA dan bayaran yang dikenakan sebanyak RM100 hingga RM150 untuk setiap pasport dan dipercayai menghasilkan sebanyak 50 hingga 100 naskah pasport sehari,” ujarnya.
Ruslin berkata, pada operasi itu pihaknya merampas sebuah komputer riba, sebuah mesin pencetak, 45 pasport disyaki palsu, 102 keping kulit pasport Bangladesh, India, Indonesia, Filipina dan Nepal yang turut disyaki palsu.
“Ia termasuk sembilan helai dokumen e-visa elektronik disyaki palsu, empat helai borang pemeriksaan FOMEMA, kertas yang bercetak muka surat pasport Bangladesh dan pelbagai peralatan untuk membuat dokumen palsu,” jelasnya.
Kata beliau, suspek telah ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1964.
Dalam pada itu, seorang lelaki warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazete