KUALA LUMPUR – Tiga rakan karib aktif mengedar dadah jenis ganja di sekitar ibu negara berjaya ditahan dalam serbuan berasingan pada 1 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kesemua suspek adalah kenalan sejak dibangku sekolah berusia di antara 20 hingga 24 tahun.
Katanya lagi, sindiket terbabit menggunakan aplikasi Telegram dengan mencipta kumpulan bagi menjual dadah khas kepada pelanggan tetap.
“Bagaimanapun kegiatan mereka berjaya dihidu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul selepas menahan seorang lelaki di kawasan Publika, Isnin lalu.
“Hasil soal siasat ke atas lelaki berusia 20 tahun itu membawa kepada serbuan kedua di Jalan Raja Chulan pada hari yang sama.
“Dalam serbuan itu, dua lagi lelaki tempatan berusia 24 tahun berjaya ditahan di lobi sebuah premis pejabat di situ yang sedang memegang karung guni berisi 50 paket plastik lutsinat ketukan mampat dedaun kering disyaki ganja seberat 5.26 kilogram (kg).
“Penahanan itu membawa kepada serbuan ketiga di kawasan tempat letak kenderaan di premis sama ke atas sebuah kereta jenis Mercedes Benz dan Nisan Almera,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, hasil maklumat daripada kesemua suspek membawa kepada serbuan keempat di bangunan yang sama dengan menemukan lima kotak berisi ganja dianggarkan berjumlah 19.12kg.
Dalam pada itu, pihaknya turut melakukan satu lagi serbuan di Jalan SS8/2, Petaling Jaya namun tidak menemukan apa- apa barang salah.
“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing terhadap suspek pertama disahkan positif dadah jenis THC dan kesemua suspek kini telah direman selama lima hari sejak Selasa hingga hari ini.
“Bagaimanapun, kita akan memohon sambung reman terhadap ketiga- tiga suspek untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Ahmad Sukarno juga memaklumkan, siasatan mendapati sindiket berkenaan mula bergiat aktif sejak empat bulan lalu dan membuat penghantaran barangan terbabit menggunkaan kurier.
“Semua dadah dijual pada harga bermula RM200 hingga RM250 bagi satu paket. Pelanggan yang berminat akan membuat pesanan melalui kumpulan Telegram.
“Kita juga sedang mengenal pasti sama ada ketiga-tiga suspek turut terlibat dengan ahli sindiket lain dalam rangkaian ini,” ujarnya.
Ujar beliau lagi, hasil keselurhan rampasan dadah berjumlah 24.3kg dianggarkan bernilai RM85,980 dan ia boleh digunakan seramai 48,772 orang. – MalaysiaGazette