Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membakar obor sebagai gimik perasmian Larian Hari Polis sempena Peringatan Hari Polis ke-217 ketika di Dataran Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Kerajaan menyasarkan dapat mengekalkan kedudukan terbaik pada tangga ke-10 negara paling selamat di dunia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, negara kini berada di tangga ke-10 berbanding di kedudukan ke-19 pada tahun sebelumnya berdasarkan pengumuman kedudukan yang dikeluarkan oleh Indeks Keamanan Global 2024 (GPI 2024).

“Ia merupakan satu petunjuk penting kepada negara terutama dalam aspek menarik minat pelabur. Kumpulan pelabur yang ingin berada di Malaysia pastinya mahu melihat indeks yang baik seperti ini sebelum membuat pelaburan.

“Mereka mahu tahu terlebih dahulu jaminan keselamatan dan ketenteraman awam di sesebuah negara,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menghadiri Program Larian Hari Polis sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Gelagat 10, 000 peserta yang melakukan senamrobik sebelum memulakan Larian Hari Polis sempena Peringatan Hari Polis ke-217 ketika di Dataran Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 JULAI 2024.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) memiliki tugas bagi memastikan keamanan negara dan ketenteraman awam berada pada tahap terbaik.

Justeru menurut beliau, PDRM perlu memainkan peranan untuk terus mendekati orang ramai, seterusnya berjaya membentuk sebuah komuniti yang harmoni.

Katanya, hubungan antara polis dan orang ramai tidak pernah terpisah terutama menangani masalah sosial serta jenayah yang berlaku di sekeliling masyarakat.

“Apabila ini dapat dilaksanakan, ia akan membantu Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat dan mahu dikunjungi masyarakat luar.

“Tugas ini bagaimanapun bukan perlu dilakukan oleh polis sahaja tetapi semua pihak yang sayangkan Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membakar obor sebagai gimik perasmian Larian Hari Polis sempena Peringatan Hari Polis ke-217 ketika di Dataran Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 JULAI 2024.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast