Ahli Dewan Undangan Sungai Bakap, Abidin Ismail bertemu dengan penduduk kawasan Sungai Kechil pada hari pertama selepas diisytihar menang PRK N.20 Sungai Bakap. Foto AIZAT ZAINAL, 6 JULAI 2024.

NIBONG TEBAL – Rata-rata pengundi Dewan Undangan Sungai Bakap melahirkan rasa puas hati dengan kemenangan calon Perikatan Nasionol (PN), Abidin Ismail dalam pilihan raya kecil kawasan tersebut semalam.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, para pengundi yakin dengan kredibiliti Abidin untuk mewakili suara mereka.

Bahkan, mereka turut menzahirkan harapan agar wakil rakyat baharu itu menunaikan tanggungjawab sepenuhnya.

Khoo Swee Meng

Khoo Swee Meng, 53, berkata, dia yakin Abidin mampu membuat yang terbaik selaku wakil rakyat dalam memperjuangkan suara penduduk Sungai Bakap.

“Saya kenal dia (Abidin) hampir 30 tahun jadi dari segi keperibadian itu sudah cukup untuk menyakinkan dia mampu lakukan tersebut untuk semua masyarakat tanpa mengira kaum.

“Kita bagi peluang untuk dia buktikan meskipun pembangkang namun masih boleh berkhidmat untuk rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Khoo Yi Bang

Menurut Khoo Yi Bang, 25, sebagai pengundi muda dia mengharapkan wakil rakyat baharu membawa perubahan kepada masalah yang dihadapi penduduk Sungai Bakap.

“Saya rasa dia (Abidin) boleh kerja dan bapa saya juga antara yang menyakinkan saya mengenai calon PN ini.

“Apa-apa pun kita bagi dia peluang untuk buktikan,” katanya.

Shahrul Anwar Ahmad

Bagi, Shahrul Anwar Ahmad, 42, pula, sikap Abidin yang mesra dengan penduduk sekitar itu selain cakna dilema Sungai Bakap diharapkan diterjemah dalam mendesak kerajaan negeri.

“Kita memang kenal dia aktif menyantuni penduduk sejak bersama Abang Zam (bekas Adun, Nor Zamri) jadi hasil kerjanya kita tahu dan yakin boleh menjadi pembangkang yang seimbang,” katanya.

Gopal Krishnan

Sementara itu, A. Gopal Krishnan, 70, berkata, langkah wakil rakyat baharu turun padang pada hari pertama selepas menang untuk menyantuni pengundi membuktikan Abidin  akan lebih cakna dengan masyarakat setempat.

“Seperti mana kita tengok dia turun padang hari ini harap ia akan diteruskan pada masa akan datang agar pengundi tidak kecewa dengan pemilihan wakil rakyat baharu,” katanya.

Untuk rekod, PN semalam berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal itu memperoleh 14, 489 undi, menewaskan pencabarnya calon Pakatan Harapan (PH) Dr. Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi. – MalaysiaGazette