NIBONG TEBAL – Wakil rakyat baharu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail berarak menggunakan lori bagi merakamkan ucapan terima kasih kepada penduduk kawasan itu.
Beliau turut menyantuni pengundi secara bersemuka sebagai sembolik dirinya sudah mula melakukan tugas sebagai wakil rakyat yang dipilih menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam.
Beliau yang mesra dengan panggilan Abang Abidin menyifatkan kemenangan semalam sebagai satu permulaan yang bagi sempena Awal Muharam sekali gus akan meneruskan manifesto KERJA yang diumumkan sebelum ini.
Jelasnya, selain itu, hebahan secara bergerak menggunakan lori dibuat atas tanda terima kasih kepada pengundi yang memberi kepercayaan kepadanya mewakili PN.
“Alhamdulillah hari ini kita buat hebahan secara bergerak menggunakan lori.. setakat ini saya bersama (jentera parti) telah pergi ke Unit Daerah Mengundi (UDM) Kampung Besar dan UDM Sungai Kechil.
“InsyaAllah kita akan pergi kesemua lapan UDM bagi merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi yang memberi kepercayaan kepada PN hingga menang majoriti yang besar.
“Awal Muharam permulaan yang baik kita mendapat kemenangan semalam..ini juga permulan untuk legasi arwah abang zam (bekas Adun Nor Zamri) Insya-Allah kita akan teruskan apa arwah nak buat dengan menambah baik apa yang perlu kita tambah,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Mengulas lanjut mengenai persiapan sebagai wakil rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN), Abidin berkata, pihaknya belum dimaklumkan tarikh angkat sumpah sebagai wakil rakyat setakat ini.
Bagaimanapun, beliau telah bersedia untuk menjadi pendesak yang kuat dalam DUN bagi memastikan keluhan rakyat sampai dan tindakan lanjut diambil bagi mengatasinya.
“Kita nak jadi pendesak yang kuat..jika berlaku sesuatu isu kita akan jadi perantara dengan pihak berkaitan termasuk memberikan cadangan apa yang sepatutnya dilakukan bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Contohnya masalah air kita akan medesak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk mengatasinya.
“Dakwaan PN tidak boleh buat apa kalau menang itu tidak relevan kerana tugas kita untuk memastikan ada semak imbang dalam kerajaan negeri.. mereka sendiri pun pernah jadi pembangkang mesti faham konsep tersebut,” katanya.
Untuk rekod, PN semalam berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dalam PRK kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.
Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal itu memperoleh 14, 489 undi, menewaskan pencabarnya calon Pakatan Harapan (PH) Dr. Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi. – MalaysiaGazette