Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan titah pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 07 JULAI 2024.

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penyebaran maklumat berkaitan agama Islam yang mengelirukan, tidak tepat, salah tafsir dan ajaran menyimpang daripada prinsip sebenar.

Baginda bertitah, lebih malang apabila penyebaran maklumat agama Islam tidak tepat menerusi media sosial boleh membawa kepada kekeliruan, perpecahan dan amalan agama yang menyimpang.

“Setiap umat Islam perlu bijak menilai mana yang bentuk dan mana yang salah.

“Orang dahulu belajar agama agama dengan baca kitab, dengar kuliah di masjid, namun orang sekarang belajar agama dalam talian daripada ustazah Facebook dan Ustazah TikTok.

“Suka saya ingatkan kepada semua agar berhati-hati dalam menuntut agama dalam media sosial dan pastikan kandungan yang diperolehi sahih dan berwibawa,” titah Seri Paduka pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Seri Paduka juga menitahkan kerajaan agar meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kandungan ajaran sesat.

“Beta menggesa agar kerajaan menyediakan satu pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu dan maklumat yang tepat,” titah Baginda.

Baginda juga mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan media sosial sebagai tempat untuk berbalah atau bertengkar.

“Jangan buka aib orang lain atau tularkan perkara yang memalukan kerana ini semua akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan,” titah Seri Paduka.

Menurut Seri Paduka juga mengingatkan semua pihak agar tidak bersikap keterlaluan atau ekstrem terutama dalam isu berkaitan kaum dan agama sehingga boleh mencetuskan api perbalahan.

“Semua kaum ada budaya dan agama sendiri, kita mesti hidup dengan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Sesungguhnya semua umat Islam itu adalah bersaudara, perbezaan bangsa, budaya, asal usul tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk kita berselisih faham, caci mencaci dan tuduh-menuduh antara satu sama lain,” titah Baginda lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast