Logo Jabatan Perangkaan Malaysia

KUALA LUMPUR – Jabatan Perangkaan memaklumkan Banci Pertanian 2024 telah bermula pada hari ini 7 Julai hingga 10 Oktober 2024.

Pelancarannya dibuat oleh Pesuruhjaya Jabatan Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di Kangar, Perlis.

Pengarah Jabatan Perangkaan negeri bersama anggota pembanci lapangan seluruh negara telah memulakan operasi luar ke tempat kediaman atau pertubuhan bersempena Hari Banci Pertanian 2024 yang telah ditetapkan pada 7 Julai 2024.

Liputan banci merangkumi empat subsektor iaitu tanaman, ternakan, perikanan & akuakultur dan perhutanan & pembalakan.

Banci Pertanian 2024 penting dalam menghasilkan penanda aras baharu bagi mewujudkan pangkalan data yang komprehensif dan boleh dipercayai.

Penanda aras baharu ini penting untuk menyediakan data asas merangkumi pelbagai aspek pertanian mengikut piawaian yang standard dan klasifikasi yang seragam; memudahkan perbandingan dan penandaaras antarabangsa; memastikan sumber yang terhad digunakan dengan berkesan untuk menyokong pembangunan pertanian; dan merangka dasar dan strategi yang berkesan berasaskan bukti untuk menangani cabaran dan memanfaatkan peluang dalam pertanian.

Parameter utama banci yang akan diliputi dalam soal selidik Banci Pertanian 2024 telah mengambil kira keperluan bagi Rancangan Malaysia Ke-12 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang seterusnya akan dapat memenuhi keperluan bagi Dasar Agromakanan Negara dan Dasar Agrokomoditi Negara.

Pengumpulan data melalui pelaksanaan banci ini merangkumi 11 tema yang disarankan oleh World Census Agriculture 2020 iaitu demografi pertanian; tanah dan keluasan bertanam;sistem pengairan; pekerjaaan dan gaji & upah; latar belakang pendidikan; agropelancongan; kemudahan pembiayaian; pendapatan, perbelanjaan dan aset; amalan pertanian dan penggunaan teknologi; ekonomi digital bagi tujuan pemasaran; dan keterjaminan makanan.

Dapatan Banci Pertanian dapat menyediakan statistik pertanian masa sebenar dan komprehensif yang akan memberi manfaat berguna kepada semua pihak termasuk pemegang taruh, kerajaan negeri, penyelidik, ahli akademik, pengusaha pertanian dan orang awam.

Banci Pertanian 2024 disasarkan untuk mencapai salah satu outcome utama iaitu membangunkan satu Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu yang akan mengandungi maklumat rantaian pertanian (huluan dan hiliran) yang akan dikemaskini secara berkala.

Dengan tercapainya hasil banci pertanian ini akan menjadikan negara bergerak ke arah agenda pertanian melalui pembuatan keputusan berasaskan bukti selaras dengan keperluan dan perubahan persekitaran yang menuntut data yang holistik, komprehensif, relevan dan bertepatan masa.

Menurutnya, kejayaan Banci Pertanian 2024 sememangnya memerlukan kerjasama semua pengusaha isi rumah, institusi dan pertubuhan yang menjalankan aktiviti pertanian.

Justeru, semua pihak yang terlibat di seluruh negara diseru memberi kerjasama penuh dalam pelaksanaan Banci Pertanian 2024 yang akan dilaksanakan bermula pada 7 Julai sehingga 10 Oktober 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast