Pasukan Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa keluar sebanyak tiga kotak dokumen dipercayai berkaitan isu Hrd Corp di Wisma HRD Corp, Bukit Damansara. Foto SYADILA AMARI, 09 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan bahawa siasatan berhubung syarikat Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) tidak akan tertumpu kepada isu-isu kelemahan pengurusan dan ketidakakuran peraturan.

Katanya dalam kenyataan, ia kerana perkara tersebut telah dijelaskan dan diperkemaskan oleh pengurusan HRD Corp sewaktu Exit Conference dengan Jabatan Audit Negara sebelum ini.

“Hasil analisis awal mendapati, sebanyak 12 rumusan teguran yang diketengahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

“Namun begitu, fokus utama siasatan SPRM menjurus kepada elemen-elemen jenayah yang tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, SPRM turut mengesahkan telah memulakan siasatan berhubung isu HRD Corp serta mengambil dokumen-dokumen berkaitan LKAN dari KESUMA dan HRD Corp hari ini.

Sehubungan itu, SPRM menyeru semua pihak agar memberi ruang dan masa yang mencukupi bagi proses siasatan itu dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.

Terdahulu, KESUMA dan HRD Corp hari ini menjadi tumpuan pasukan khas SPRM bagi mendapatkan dokumen diperlukan berkaitan isu HRD Corp.

Pada Sabtu lalu, SPRM mengesahkan telah menerima laporan audit yang dikemukakan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Khamis mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pula antara lain mendedahkan sejumlah RM4.81 juta baki geran pada tahun 2020 yang tidak digunakan dan belum dikembalikan kepada kerajaan, selain sebanyak 62 permohonan levi berjumlah RM1.68 juta diluluskan selepas tarikh latihan serta baki levi tertunggak berjumlah RM205.42 juta setakat 31 Disember lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SPRM bawa keluar tiga kotak, enam jam di pejabat HRD Corp

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast