Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 09 JULAI 2024.

KUALA LUMPUR – Pihak bank tidak boleh meletakkan tanggungjawab atas sebarang kerugian daripada penipuan perbankan atas talian ke atas pelanggan kecuali pihak
bank mempunyai bukti kukuh yang jelas menunjukkan pelanggan tidak mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk melindungi butiran keselamatan peribadi pada setiap masa.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, setiap kes penipuan akan diteliti, dan bagi kes yang disebabkan oleh kelemahan sistem atau amalan pengurusan risiko bank
itu sendiri, pihak bank akan bertanggungjawab untuk menanggung kerugian tersebut.

Walau bagaimanapun, jika bukti jelas menunjukkan butiran keselamatan telah dikompromi kerana kecuaian pemilik akaun itu sendiri, bank perlu membuat pertimbangan untuk menawarkan pampasan yang sewajarnya kepada mangsa berdasarkan perincian berkaitan kes tersebut.

Sekiranya tidak bersetuju dengan keputusan atau tawaran pampasan yang dikemukakan oleh pihak bank, pemilik akaun berhak untuk mengemukakan pertikaian berkaitan keputusan ini kepada pihak Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (OFS).

“Bagi memperkukuhkan perlindungan terhadap hak pengguna, Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah menambahbaik dasar berkenaan pengendalian transaksi perbankan elektronik tanpa kebenaran baru-baru ini.

“Ini termasuk memastikan institusi kewangan menjalankan penyiasatan yang lebih menyeluruh dan telus dalam tempoh masa yang munasabah, serta melaksanakan kawalan pencegahan yang lebih berkesan.

“Sebarang pampasan perlu mengambil kira terlebih dahulu keberkesanan kawalan keselamatan yang dilaksanakan oleh institusi kewangan dalam menangani penipuan kewangan,” katanya.

Selain itu katanya, sejak Jun 2023, semua bank utama telah melaksanakan langkah-langkah termasuk memastikan setiap transaksi perbankan mematuhi ciri-ciri keselamatan seperti pengesahan dan memberi notifikasi transaksi kepada pelanggan.

Selain itu, memperkukuh peraturan pengesanan penipuan untuk mengenal pasti transaksi mencurigakan, menghadkan pelanggan kepada hanya satu peranti untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian untuk mencegah penyalahgunaan akaun oleh pihak ketiga.

Langkah lain dengan mempercepatkan peralihan daripada penghantaran kata laluan sekali sahaja (OTP) melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pengesahan yang lebih kukuh bagi transaksi dalam talian yang berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta pertukaran maklumat peribadi dan penetapan akaun serta menyediakan talian hotline khusus bagi mangsa untuk melaporkan kes penipuan dalam talian,.

Katanya lagi, BNM telah menguatkuasakan mekanisma ‘kill switch’ yang membolehkan pengguna membekukan akaun mereka sendiri sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.

“Ini termasuklah jika mereka mendapati yang akaun mereka mungkin diakses atau diguna tanpa kebenaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast