Boo Cheng Hau

KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP Johor hari ini mempersoalkan kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh yang akan menghalang pelajar bukan bumiputera daripada memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan alasan mempertahankan “hak orang Melayu”.

Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau berkata, adakah pelajar UiTM yang membantah pengambilan pelajar bukan bumiputera berbeza dengan pelajar kulit putih di selatan Amerika Syarikat yang membantah pengambilan pelajar berwarna kulit hitam.

Menurutnya, di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah termaktub bahawa “kuota yang munasabah” ditetapkan untuk orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak yang lain sambil melindungi “hak sahih” kumpulan etnik lain.

“Adakah kuota 100% bumiputera UiTM disifatkan sebagai “kuota munasabah” dan berperlembagaan? Adakah ia telah menjejaskan “hak-hak sahih” komuniti etnik lain yang sepatutnya mempunyai akses yang sama kepada pendidikan awam percuma?

“Adakah kursus asasi universiti awam diperuntukkan 100% kuota untuk pelajar bumiputera dianggap sebagai “kuota munasabah” dan berperlembagaan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan?” soal beliau lagi dalam hantaran di Facebook.

Hantaran itu turut disertakan kenyataan Dr Akmal yang mempertahankan UiTM untuk bumiputera.

Sebelum ini, Dr Akmal memberi amaran kepada mana-mana pihak termasuk ahli politik atau akademik supaya tidak lagi mengemukakan cadangan mengenai kemasukan penuntut bukan bumiputera ke UiTM.

Beliau berkata demikian ketika menyelar cadangan membenarkan pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di UiTM.

Menyifatkan cadangan tersebut sebagai dangkal, Dr Akmal menegaskan, Pemuda UMNO berpegang teguh dengan pendirian kerajaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa UiTM yang menjadi sebahagian hak keistimewaan Melayu serta bumiputera, tidak sesekali di sentuh pihak lain.

Katanya, pendirian tegas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertahankan UiTM hanya untuk pelajar bumiputera adalah tepat dan sejajar dengan Fasal 1A, Akta UiTM (Akta 173) yang mana universiti itu ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.

“Jangan sesekali membangkitkan isu seperti ini lagi kerana UiTM akan kekal milik bumiputera tanpa kompromi, dulu, kini dan selamanya,” tegas beliau.

Boo Cheng menambah, jika mana-mana institusi pendidikan, agama atau kebudayaan untuk tujuan tertentu satu kumpulan etnik, ia harus dibina atas dasar kebajikan masyarakat dan kemanusiaan.

Hujahnya lagi, jika masyarakat India dan Cina boleh mengumpul dana untuk sekolah vernakular dan kolej universiti yang bukan sahaja terbuka kepada kumpulan etnik mereka sendiri tetapi juga dibuka kepada komuniti etnik yang lain – usahawan Melayu yang kaya raya dan berada sewajarnya melakukan usaha yang sama untuk memajukan masyarakat mereka sendiri jika mereka tidak dapat berhasrat melakukannya untuk komuniti etnik lain.

Boo Cheng berkata, untuk mengembalikan daya saing se-Malaysia, kita perlu memperpadukan diri dengan rakan sebaya dan mempelajari kemahiran yang terkini melalui pendekatan bergaul dengan komuniti etnik lain daripada menyegregasikan diri daripada rakan sebaya.

Menurutnya, integrasi sejati antara pelbagai lapisan masyarakat hanya boleh berlaku jika institusi-institusi awam terbuka kepada semua warga Malaysia dan beroperasi secara telus melalui kerjasama yang lebih erat dengan sektor swasta. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Haaa….orang mcm ni lah yg menyebabkan orang Melayu menolak untuk mengundi kerajaan dan UMNO…

Comments are closed.