JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri warga Singapura berdepan detik cemas selepas kereta BMW dinaiki terbakar di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian pada pukul 8.15 malam itu berlaku berhampiran kaunter di laluan masuk ke Singapura.
Menurutnya, pasangan suami isteri berusia 32 dan 31 tahun itu sempat menyelamatkan diri selepas menyedari berlaku kebakaran.
“Pihak pengurusan BSI kemudian dibantu anggota polis, polis bantuan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Imigresen Johor bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.
“Mereka menggunakan peralatan memadam api sebelum kebakaran berjaya dikawal daripada merebak dan api padam sepenuhnya pada pukul 8.35 malam,” katanya dalam satu kenyataan d sini malam tadi.
Semalam tular dalam media sosial video memaparkan kejadian tersebut yang mengakibatkan aliran trafik sesak seketika.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Penguasa Bomba Kanan II Saiful Nizam Mohamad berkata, 15 anggota dibantu masing-masing sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Apabila sampai kita dapati kereta berkenaan sudah terbakar 60 peratus. Kebakaran berjaya dikawal dan pihak bomba kemudian membuat pemantauan,” ujarnya.
Saiful Nizam memberitahu, punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan dan operasi selesai pada pukul 9.20 malam. – MalaysiaGazette