Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani

BATU PAHAT – Hasrat seorang bekas guru untuk bermain saham selepas bersara tidak kesampaian apabila diperdaya RM156,850 pada Mac lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdulah Sani berkata, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 56 tahun terlibat dalam pelaburan saham palsu itu selama hampir empat bulan akibat terpengaruh dengan pulangan yang ditawarkan.

“Semuanya bermula pada 26 Mac lalu apabila wanita itu mula terjebak selepas melihat iklan pelaburan AVA Investmen, Sahabat Invest dan MIDF Invest dalam aplikasi Telegram yang menawarkan keuntungan yang tinggi.

“Selepas menyatakan minatnya untuk melabur, mangsa telah dihubungi seorang individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp dan seterusnya memberi pautan laman web avafinancialfrx.com/trade/index.phd yang kemudiannya memasukan maklumat diri dalam platform berkenaan.

“Bermula dari 29 Mac hingga 6 Julai mangsa telah membuat pindahan ke dalam 34 akaun bank berbeza secara berperingkat sebanyak RM156,850,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Katanya, selepas melihat terdapat keuntungan dalam akaun pelaburan miliknya dan ingin membuat pengeluaran, suspek kemudiannya memberikan pelbagai alasan tidak munasabah malah meminta mangsa untuk membuat tambahan pembayaran bagi mengeluarkan keuntungan itu.

Menurut Shahrulanuar, mangsa bagaimana pun tidak membuat sebarang bayaran tambahan kerana menyedari dirinya tertipu dengan jumlah RM156,850 yang dilaburkan lesap.

Ujarnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau dengan denda.

“Sikap mudah percaya dengan pulangan pelaburan lumayan serta tamak antara punca utama orang ramai menjadi mangsa kepada pelaburan palsu seperti ini, polis menasihatkan agar tidak mudah percaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak munasabah dalam masa singkat tanpa membuat semakan terlebih dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette